Apabila beberapa orang wanita dalam kumpulan pengajian Alkitab kami yang baru dibentuk menghadapi serangkaian tragedi, kami saling berkongsi pengalaman ini. Perkongsian tentang kehilangan seorang bapa, kepedihan terhadap ulang tahun perkahwinan selepas perceraian, kelahiran bayi yang pekak, pada saat ketika harus bergegas membawa anak ke wad kecemasan—pengalaman-pengalaman yang terlalu berat untuk dipikul oleh sesiapa pun. Kesedihan dan perasaan yang ditunjukkan oleh setiap orang telah mewujudkan ketelusan dalam kumpulan kami. Kami menangis dan berdoa bersama. Dalam masa beberapa minggu, kami yang pada mulanya tidak saling mengenali telah menjadi sekumpulan kawan rapat.
Sebagai anggota gereja, orang Kristian mampu berjalan seiringan dengan mereka yang mengalami penderitaan secara peribadi dan mendalam. Ikatan hubungan antara saudara seiman dalam Kristus tidak bergantung pada jangka masa kita saling mengenali atau memiliki banyak persamaan. Sebaliknya, seperti mana yang dijelaskan oleh Paulus, kita “saling menolong memikul beban” (Galatia 6:2). Dengan bergantung pada kekuatan Tuhan, kita saling memperhatikan, bersimpati, menolong semampu yang dapat, dan berdoa. “Oleh itu, selama kita berpeluang, kita patut berbuat baik kepada semua orang, terutama sekali kepada saudara-saudara kita yang seiman” (ayat 10). Seperti yang dikatakan oleh Paulus, apabila kita berbuat demikian, kita telah mentaati perintah Kristus (ayat 2): mengasihi Tuhan serta mengasihi sesama kita seperti diri kita sendiri. Beban kehidupan sememangnya berat, tetapi Tuhan memberikan keluarga Kristian kepada kita untuk meringankan beban itu.