Pada malam sebelum Krismas tahun 1968, para angkasawan Apollo 8—Frank Borman, Jim Lovell dan Bill Anders—menjadi manusia pertama yang memasuki orbit bulan. Pada waktu mereka mengelilingi bulan sebanyak 10 kali, mereka mengambil gambar dari bulan dan menghantarkannya ke bumi. Semasa misi tersebut, siaran televisyen disiarkan secara langsung dan mereka bergilir-gilir membaca fasal pertama daripada kitab Kejadian. Pada sambutan ulang tahun ke-40, Borman berkata, “Kami diberitahu bahawa pada malam sebelum Krismas, dijangkakan kami akan mempunyai jumlah pendengar terbesar untuk mendengar rakaman suara manusia. Satu-satunya arahan yang kami terima daripada NASA (Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika) adalah melakukan sesuatu yang tepat.” Ayat Alkitab yang dibaca oleh para angkasawan Apollo 8 masih mampu menyemai benih kebenaran ke dalam hati orang yang mendengar rakaman yang bersejarah itu.

Melalui nabi Yesaya, Tuhan berfirman, “Sekarang dengarlah, hai umat-Ku; datanglah kepada-Ku, lalu kamu akan hidup” (Yesaya 55:3). Dengan menawarkan keselamatan secara percuma, Tuhan menjemput kita berpaling daripada dosa-dosa kita dan menerima belas kasihan serta pengampunan-Nya (ayat 6-7). Tuhan mengisytiharkan kuasa Ilahi akan pemikiran-Nya dan perbuatan-Nya, yang terlalu luas untuk kita fahami secara mendalam. Namun, Tuhan memberi peluang kepada kita untuk berkongsi ayat Alkitab yang mampu mengubah kehidupan seseorang melalui Yesus, dan mengesahkan bahawa Dia bertanggungjawab dalam pertumbuhan rohani umat-Nya (ayat 10-13).

Roh Kudus menolong kita menyampaikan Injil dan Tuhan memenuhi segala janji-Nya sesuai dengan langkah dan rancangan-Nya yang sempurna.