Charlotte Elliot yang muda itu tidak dapat tidur. Setelah mengalami kecacatan fizikal selama bertahun-tahun, dia menjadi tumpuan utama untuk acara pengumpulan dana bagi pengajian tinggi, semasa bazar diadakan di gereja pada keesokan harinya. Tetapi aku tidak layak. Kata-kata itulah bermain dalam fikiran Charlotte Elliot. Dia berguling di katil sepanjang malam, meragui kelayakannya, dan mempersoalkan setiap aspek kehidupan rohaninya. Pada keesokan harinya, Charlotte yang masih berasa gelisah akhirnya mengambil sebatang pen dan sekeping kertas, lalu menulis kata-kata lagu pujian klasik, “Meski Tak Layak Diriku” (Just as I am).
“Meski tak layak diriku / Tetapi kar’na darah-Mu / Dan kar’na Kau memanggilku, / Ku datang Yesus pada-Mu.”
Kata-katanya yang ditulis pada tahun 1835, menggambarkan bagaimana Yesus memanggil para pengikut-Nya datang dan melayani-Nya. Ini bukan kerana mereka sudah bersedia. Mereka belum bersedia. Tetapi kerana Yesus telah memberi kuasa kepada mereka—diri mereka seadanya. 12 Pengikut Yesus terdiri daripada sekumpulan orang yang dihina masyarakat, termasuklah seorang pemungut cukai, Si Patriot, dua bersaudara yang bercita-cita tinggi (lihat Markus 10:35-37), dan Yudas Iskariot yang “mengkhianati Yesus” (Matius 10:4). Tetapi Yesus masih memberi kuasa kepada mereka untuk “sembuhkanlah orang yang sakit; bangkitkan orang yang mati; sembuhkanlah orang berpenyakit kulit yang mengerikan dan usirlah roh jahat”(ayat 8)—semuanya dilakukan tanpa membawa wang, beg sedekah, lebihan pakaian atau kasut, ataupun sebatang tongkat untuk perjalanan mereka (ayat 9-10).
“Aku mengutus kamu”, kata Yesus (ayat 16), dan Yesus sendiri akan mencukupkan segala keperluan. Bagi setiap kita yang menjawab “ya” kepada panggilan Yesus, Dia sentiasa memberi kecukupan.