Saya hampir terlelap, namun tiba-tiba terdengar bunyi bising datang dari ruang bawah tanah. Anak lelaki saya sedang bermain gitar elektriknya. Dinding rumah bergema. Tiada keamanan. Tiada ketenangan. Tiada rehat. Beberapa ketika kemudian, suatu iringan muzik menyapa telinga saya: anak perempuan saya sedang memainkan lagu “Sungguh Besar Anugerah-Nya” (Amazing Grace) dengan pianonya.
Biasanya saya suka mendengar anak lelaki saya bermain gitar. Tetapi pada waktu tersebut, itu sangat mengganggu dan menjengkelkan saya. Dalam sekelip mata, nada muzik daripada lagu John Newton yang terkenal ini mengingatkan saya akan rahmat yang muncul dalam kekacauan. Tidak kira betapa hebatnya kebisingan, penolakan atau kekeliruan yang mungkin muncul daripada ribut kehidupan kita, nada rahmat daripada Tuhan tetap berkumandang dengan jelas dan benar, mengingatkan kita bahawa Dia sentiasa memperhatikan dan menjaga kita.
Kita juga melihat kenyataan ini dalam Alkitab. Dalam Mazmur 107:23-32, para pelayar di lautan yang luas berjuang dengan kuat melawan pusaran air yang mampu menelan kapal mereka dalam sekelip mata. “Orang kehilangan keberanian menghadapi bahaya sedemikian” (ayat 26). Namun mereka tidak berputus asa, tetapi “mereka berseru kepada TUHAN, dan Dia menyelamatkan mereka daripada kecemasan” (ayat 28). Akhirnya kita membaca: “Mereka bersukacita kerana ketenangan itu, dan Dia memimpin mereka ke pelabuhan yang dituju” (ayat 30).
Pada waktu kekacauan, sama ada itu mengancam nyawa ataupun sekadar mengancam masa tidur kita, bunyi bising dan ketakutan mampu menyerang jiwa kita. Tetapi apabila kita percaya kepada Tuhan dan berdoa kepada-Nya, kita akan mengalami rahmat kehadiran-Nya dan pemberian-Nya— tempat yang selamat dalam naungan kasih-Nya yang teguh.