Month: Disember 2022

Degupan Jantung yang Sama

Cerita telah menawan hati manusia sejak awal penciptaan—berfungsi sebagai cara untuk mewariskan pengetahuan kepada generasi yang seterusnya lama sebelum wujudnya bahasa bertulis. Setiap kita tahu tentang keseronokan mendengar atau membaca cerita dan segera tertarik dengan ayat permulaan cerita seperti “pada suatu masa dahulu.” Kuasa sebuah cerita nampaknya melangkaui keseronokan semata-mata: apabila kita mendengar cerita bersama-sama, degupan jantung kita seolah-olah disegerakkan! Walaupun degupan jantung setiap individu adalah berbeza sepanjang hari, dan degupan jantung seseorang mungkin sama dengan degupan jantung orang lain secara kebetulan, penyelidikan terkini menunjukkan bahawa jantung kita mungkin akan berdegup dalam irama yang sama apabila kita mendengar cerita yang sama pada waktu yang sama.

Apabila Anda Berasa Takut

Saya menjalani pemeriksaan kesihatan yang dijadualkan, dan walaupun saya tidak mempunyai masalah kesihatan baru-baru ini, saya tetap takut dengan pemeriksaan tersebut. Ingatan masa lalu tentang diagnosis yang saya telah alami masih menghantui saya. Walaupun saya tahu bahawa Tuhan menyertai saya dan saya harus mempercayai-Nya, saya masih berasa takut.

Saya kecewa kerana takut dan kurang percaya kepada Tuhan. Jika Tuhan sentiasa menyertai saya, mengapakah saya begitu cemas? Kemudian pada suatu pagi, saya percaya bahawa Tuhan mengingatkan saya tentang kisah Gideon.
Gideon yang dipanggil sebagai “pahlawan yang gagah berani” (Hakim-Hakim 6:12, AVB), berasa takut akan tugasnya untuk menyerang orang Midian. Walaupun Tuhan telah berjanji bahawa Dia akan hadir dan memberi kemenangan kepadanya, Gideon masih menginginkan pelbagai jaminan (ayat 16-23, 36-40).
Bagaimanapun, Tuhan tidak menghukum Gideon kerana perasaan takutnya. Tuhan memahami Gideon. Pada malam serangan tersebut, Tuhan sekali lagi meyakinkan Gideon akan kemenangannya, malah memberitahu Gideon cara untuk meredakan ketakutannya (7:10-11).
Tuhan juga memahami ketakutan saya. Keyakinan Tuhan telah memberi saya keberanian untuk mempercayai-Nya. Saya mengalami kesejahteraan-Nya, dan mengetahui bahawa Dia menyertai saya walau apa pun yang akan berlaku. Akhirnya, tiada masalah tentang keputusan pemeriksaan kesihatan saya.

Kad Krismas yang Sempurna

Rakaman video tentang sambutan Krismas keluarga Barker adalah amat sempurna. Tiga penggembala yang berjubah (anak-anak lelaki keluarga Barker) mengelilingi unggun api di padang yang berumput. Tiba-tiba, seorang malaikat muncul dari puncak bukit, yakni kakak mereka, kelihatan megah kecuali kasut sukannya yang berwarna merah jambu. Ketika bunyi muzik latar meningkat, para penggembala tersebut mula merenung ke arah langit dalam kekaguman. Seterusnya, mereka merentasi padang dan menemui seorang bayi lelaki—bayi adik lelaki mereka dalam sebuah bangsal yang moden. Kakak mereka kemudiannya bertukar pakaian dan memainkan watak Maria.

Kemudian tiba “bahagian bonus”, apabila ayah mereka menayangkan keadaan sebenar di sebalik tabir. Kita boleh mendengar anak-anak yang tengah bersungut, “Sejuknya.” “Aku mau pergi ke tandas sekarang!” “Boleh kita balik sekarang?” “Semua orang, tolonglah tumpukan perhatian,” kata ibu mereka berulang kali. Kenyataannya, situasi itu jauh berbeza dengan gambaran yang sempurna pada kad Krismas.
Sememangnya, amat mudah untuk menonton cerita Krismas yang asal daripada rakaman yang telah disunting dengan baik. Tetapi kehidupan Yesus dipenuhi dengan cabaran dan kesusahan. Sebagai contoh, Herodes yang cemburu cuba membunuh Yesus semasa Dia masih bayi (Matius 2:13). Maria dan Yusuf salah faham tentang Yesus (Lukas 2:41-50). Dunia membenci Yesus (Yohanes 7:7). Pada suatu ketika, “Saudara-saudara-Nya sendiri pun tidak percaya kepada-Nya” (7:5). Misi-Nya membawa Dia menuju kematian yang mengerikan. Yesus melakukan semua itu untuk memuliakan Bapa-Nya dan menyelamatkan kita.

Kuasa Firman Tuhan

Pada malam sebelum Krismas tahun 1968, para angkasawan Apollo 8—Frank Borman, Jim Lovell dan Bill Anders—menjadi manusia pertama yang memasuki orbit bulan. Pada waktu mereka mengelilingi bulan sebanyak 10 kali, mereka mengambil gambar dari bulan dan menghantarkannya ke bumi. Semasa misi tersebut, siaran televisyen disiarkan secara langsung dan mereka bergilir-gilir membaca fasal pertama daripada kitab Kejadian. Pada sambutan ulang tahun ke-40, Borman berkata, “Kami diberitahu bahawa pada malam sebelum Krismas, dijangkakan kami akan mempunyai jumlah pendengar terbesar untuk mendengar rakaman suara manusia. Satu-satunya arahan yang kami terima daripada NASA (Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika) adalah melakukan sesuatu yang tepat.” Ayat Alkitab yang dibaca oleh para angkasawan Apollo 8 masih mampu menyemai benih kebenaran ke dalam hati orang yang mendengar rakaman yang bersejarah itu.

Melalui nabi Yesaya, Tuhan berfirman, “Sekarang dengarlah, hai umat-Ku; datanglah kepada-Ku, lalu kamu akan hidup” (Yesaya 55:3). Dengan menawarkan keselamatan secara percuma, Tuhan menjemput kita berpaling daripada dosa-dosa kita dan menerima belas kasihan serta pengampunan-Nya (ayat 6-7). Tuhan mengisytiharkan kuasa Ilahi akan pemikiran-Nya dan perbuatan-Nya, yang terlalu luas untuk kita fahami secara mendalam. Namun, Tuhan memberi peluang kepada kita untuk berkongsi ayat Alkitab yang mampu mengubah kehidupan seseorang melalui Yesus, dan mengesahkan bahawa Dia bertanggungjawab dalam pertumbuhan rohani umat-Nya (ayat 10-13).

Ikan Paus Bergelar “Nenek” 

Seekor ikan paus orca (juga dikenali sebagai paus pembunuh) yang dinamakan “Granny” (“Nenek”) oleh para penyelidik, seolah-olah mengetahui peranan pentingnya ke atas hidup “cucunya”. Seekor bayi paus baru sahaja kehilangan ibunya dan belum cukup matang untuk hidup sendiri tanpa perlindungan dan sokongan. Walaupun sudah berumur 80 tahun (atau lebih tua), Granny mendampingi dan mengajar bayi paus itu cara-cara untuk terus hidup. Selalunya Granny akan mengumpulkan beberapa ekor ikan untuk supaya bayi paus bukan sahaja mendapat makanan, tetapi juga akan belajar apa yang boleh dimakan dan tempat untuk mencari ikan salmon yang diperlukannya untuk hidup.

Kita juga mempunyai keistimewaan dan sukacita yang berbeza untuk menyampaikan hal-hal yang kita tahu—kita boleh berkongsi tentang karya dan sifat Tuhan yang menakjubkan dengan generasi yang akan datang. Pemazmur yang semakin lanjut umurnya memohon kepada Tuhan untuk membenarkan dia “mengisytiharkan kuasa dan kebesaran-[Nya] kepada semua keturunan yang akan datang” (Mazmur 71:18). Dia bersungguh-sungguh ingin berkongsi dengan orang lain apa yang dia tahu tentang Tuhan—”kebaikan” dan “penyelamatan” daripada Tuhan—yang kita perlukan untuk bertumbuh dalam iman (ayat 15).