Saya memakai cermin mata baharu ketika masuk ke ruang ibadat di gereja. Ketika saya duduk, saya menyedari seorang saudari juga sedang duduk di bahagian sayap gereja yang satu lagi. Ketika saya melambaikan tangan kepadanya, dia seakan-akan amat dekat dan jelas. Saya seakan-akan dapat menggapainya meskipun dia sebenarnya berada beberapa meter dari saya. Setelah ibadat selesai, kami pun bercakap-cakap. Saya baru sedar bahawa dia berada di tempat duduk yang sama pada setiap ibadat. Saya boleh melihatnya dengan lebih baik hanya kerana preskripsi yang dinaikkan taraf dalam cermin mata baharu saya.

Tuhan berfirman melalui nabi Yesaya, dan Dia tahu orang Israel yang terkurung di bawah tawanan orang Babel memerlukan preskripsi yang baharu—pandangan yang baru. Dia berkata kepada mereka, “Aku hendak membuat jalan di tanah tandus dan sungai-sungai di gurun” (Yesaya 43:19). Malah pesan Tuhan yang mengandungi harapan termasuklah peringatan bahawa Dia telah “menciptakan” mereka, “menebus” mereka, dan Dia akan bersama dengan mereka. “Engkau milik-Ku,” katanya kepada mereka (ayat 1).

Dalam apa jua yang anda hadapi hari ini, Roh Kudus dapat memberikan visi yang lebih baik supaya anda dapat meletakkan peristiwa yang lama di belakang dan mencari sesuatu yang baharu. Dengan kasih Tuhan (ayat 4), kita akan mendapati visi yang baru wujud di sekeliling kita. Dapatkah anda melihat apa yang sedang dilakukan-Nya di tengah kesakitan dan ikatan anda? Marilah kita menggunakan cermin mata rohani yang baharu untuk melihat sesuatu yang baharu, yang sedang dilakukan oleh Tuhan dalam masa-masa gersang kita.