Apabila robot perayau Marikh Perseverance mendarat di planet merah itu pada 18 Februari 2021, mereka yang memantau ketibaannya mengalami “tujuh minit ketakutan.” Apabila kapal angkasa itu menamatkan -perjalanan sejauh 469 juta kilometer, robot itu sendiri harus melakukan prosedur pendaratan yang kompleks. Isyarat dari Marikh ke Bumi mengambil masa selama beberapa minit, jadi NASA tidak dapat mendengar apa-apa daripada Perseverance semasa pendaratan. Hal ini sangat menakutkan pasukan yang telah meletakkan begitu banyak usaha dan sumber ke dalam misi itu.
Kadang-kadang kita mungkin mengalami masa ketakutan kita sendiri apabila kita merasakan bahawa kita tidak mendengar daripada Tuhan—kita berdoa tetapi tidak mendapat jawapan. Dalam Alkitab, kita mendapati doa beberapa peribadi dijawab dengan cepat (Lihat Daniel 9:20-23) dan mereka yang tidak mendapat jawapan untuk masa yang lama (lihat cerita Hana dalam 1 Samuel 1:10-20). Mungkin contoh yang paling pedih tentang jawapan Tuhan yang tertangguh—yang pasti telah menimbulkan ketakutan besar dalam hati Maria dan Marta—adalah ketika mereka meminta Yesus menolong saudara mereka, Lazarus yang sakit tenat(Yohanes 11:3). Yesus menangguhkan perjalanan-Nya, dan saudara mereka meninggal (ayat 6-7, 14-15). Namun empat hari kemudian, Kristus menjawab dengan membangkitkan Lazarus daripada kematian (ayat 43-44).
Menunggu jawapan doa kita boleh menjadi sukar. Tetapi Tuhan memberi penghiburan dan pertolongan ketika kita “tampil dengan berani ke hadapan takhta kasih kurnia[-Nya], supaya kita mendapat belas kasihan dan kasih kurnia untuk menolong kita ketika kita memerlukannya” (Ibrani 4:16).