Brenda sedang berjalan menuju ke pintu keluar pusat beli-belah, tiba-tiba satu benda berwarna merah jambu dari sebuah kedai telah menarik perhatiannya. Dia berpaling dan berdiri dalam keadaan terpesona sambil menatap “kot berwarna merah jambu” di hadapannya. “Oh, Holly pasti akan menyukainya,” katanya. Holly ialah rakan sekerjanya dan seorang ibu tunggal yang menghadapi kekurangan wang. Brenda tahu bahawa Holly memerlukan kot tebal itu, dan tahu bahawa rakannya itu tidak akan membelanjakan wang untuk membeli sesuatu demi dirinya sendiri. Tanpa teragak-agak, Brenda tersenyum sambil mencapai dompetnya lalu membeli kot tersebut dan mengirimkannya ke rumah Holly. Dia menyertakan kad tanpa nama pada kiriman itu, “Kamu sangat dikasihi”. Kemudian Brenda seolah-olah menari sambil menuju ke keretanya dengan hati yang sangat gembira.

Kegembiraan merupakan hasil sampingan daripada pemberian Tuhan. Seperti yang diperintahkan oleh Paulus kepada jemaah di Korintus tentang kemurahan hati, dia berkata, “Masing-masing hendaklah memberi setulus hati, jangan dengan rasa enggan atau terpaksa, kerana Allah mengasihi orang yang memberi dengan gembira” (2 Korintus 9:7). Dia juga berkata, “orang yang menyemai banyak akan menuai banyak” (ayat 6).

Kadang-kadang kita memasukkan wang tunai ke dalam kantung persembahan. Pada masa yang lain, kita menderma secara dalam talian kepada pelayanan yang baik. Kemudian ada masanya Tuhan memimpin kita memenuhi keperluan seorang kawan sebagai tanda kasih-Nya. Kita juga boleh memberikan barang keperluan dapur, tong gas, atau menghadiahi orang sehelai kot merah jambu yang baharu.