“Saya tidak fikir saya boleh melakukan ini lagi,” kata rakan saya sambil menitiskan air mata ketika dia meluahkan rasa putus asa yang dihadapinya sebagai jururawat yang mengalami krisis dalam kesihatan global. “Saya tahu Tuhan telah memanggil saya untuk menjadi jururawat, tetapi saya benar-benar kehilangan harapan,” katanya. Melihat keadaannya yang diselubungi kelelahan, saya menjawab, “Saya tahu kamu berasa tidak berdaya sekarang, tetapi berdoalah agar Tuhan membimbing kamu dan memberi kekuatan untuk bertahan.” Pada masa itu, dia mengambil keputusan untuk mencari Tuhan melalui doa. Tidak lama kemudian, semangat rakan saya dihidupkan kembali dengan matlamat hidup yang baharu. Bukan sahaja dia diberikan keberanian untuk terus menjadi jururawat, tetapi Tuhan juga memberi dia kekuatan untuk melayani lebih ramai orang dengan melawat hospital-hospital di seluruh negara.
Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, kita boleh sentiasa mencari pertolongan dan dorongan Tuhan apabila kita berasa terbeban, kerana dalam Dia, “[kita] tidak akan menjadi letih ataupun penat” (Yesaya 40:28). Nabi Yesaya mengatakan bahawa Bapa kita yang di syurga “memberikan kekuatan kepada yang letih, dan menambah tenaga kepada mereka yang tidak berdaya” (ayat 29). Walaupun kekuatan Tuhan adalah kekal, Dia tahu kita pasti akan menghadapi hari-hari yang tidak berdaya secara fizikal dan emosi (ayat 30). Tetapi apabila kita mencari Tuhan untuk memohon kekuatan dan bukannya cuba berusaha mengharungi cabaran hidup dengan kekuatan sendiri, Dia akan memulihkan dan memperbaharui kita, serta memberi kita azam untuk terus beriman.