Pada 20 Julai 1969, Neil Armstrong dan Buzz Aldrin melangkah keluar dari modul pendaratan bulan dan menjadi manusia pertama yang berjalan di permukaan bulan. Tetapi kita tidak sering berfikir tentang orang ketiga dalam pasukan mereka, iaitu Michael Collins, yang memandu modul Apollo 11.
Selepas rakan-rakan sepasukannya menuruni anak tangga untuk memijak permukaan bulan, Collins menunggu bersendirian jauh di sisi bulan. Dia terpisah daripada Neil, Buzz, dan semua orang di bumi. Stesen kawalan misi NASA mengulas, “Sejak Adam, belum pernah ada manusia begitu kesunyian seperti Mike Collins.”
Ada kalanya kita berasa benar-benar bersendirian. Bayangkan perasaan Yusuf, anak Yakub, sewaktu dia dibawa dari Kanaan ke Mesir setelah saudara-saudaranya menjualnya (Kejadian 37:23-28). Malah dia diasingkan lagi apabila dia dilemparkan ke dalam penjara atas tuduhan palsu (39:19-20).
Bagaimanakah Yusuf mampu bertahan di penjara di negeri asing tanpa keluarga di sisinya? Dengarkan ini: “Maka terpenjaralah Yusuf di situ. Akan tetapi, TUHAN menyertai Yusuf dan menunjukkan kasih-Nya kepadanya” (ayat 20-21). Kita diingatkan sebanyak empat kali akan kebenaran yang menghibur ini dalam Kejadian 39.
Adakah anda berasa bersendirian atau terasing daripada orang lain? Berpeganglah pada kebenaran akan kehadiran Tuhan, yang dijanjikan oleh Yesus Sendiri: “Aku akan sentiasa bersamamu, hingga ke akhir zaman” (Matius 28:20). Dengan Yesus sebagai Penyelamat anda, anda tidak pernah sendirian.