Apabila Pastor Warren mendengar bahawa seorang lelaki di gerejanya telah meninggalkan isteri dan keluarganya, dia memohon kepada Tuhan untuk menolong dia bertemu dengan lelaki itu seolah-olah secara tidak sengaja supaya mereka boleh berbual. Tuhan mengabulkan doanya! Ketika Warren masuk ke sebuah restoran, dia ternampak lelaki itu juga berada di situ. “Boleh saya makan bersama-sama anda?” dia bertanya, dan tidak lama kemudian mereka berkongsi secara mendalam dan berdoa bersama.

Sebagai seorang pastor, Warren bertindak sebagai gembala bagi orang-orang dalam komuniti gerejanya, sebagaimana Tuhan berkata bahawa Dia akan mengurus kawanan domba-Nya melalui nabi Yehezkiel. Tuhan berjanji untuk menjaga domba-domba-Nya yang tercerai-berai, menyelamatkan dan mengumpulkan domba-domba ini dari berbagai-bagai negeri (Yehezkiel 34:12-13). Dia akan “menggembalakan mereka di padang rumput yang baik”, dan yang hilang akan dicari serta dibawa pulang; Dia akan membalut yang luka dan yang lemah dikuatkan (ayat 14-16). Kasih Tuhan kepada umat-Nya bergema melalui setiap gambaran ini. Meskipun kata-kata Yehezkiel bercakap tentang tindakan Tuhan pada masa depan, kata-kata ini mencerminkan hati Tuhan yang abadi dan Gembala yang suatu hari nanti akan menyingkapkan Diri-Nya dalam Yesus.

Tidak kira apa pun keadaan kita, Tuhan menjangkau setiap kita, Dia mahu menyelamatkan kita dan melindungi kita di padang rumput yang subur. Dia ingin kita mengikut Gembala yang Baik, iaitu Dia yang telah mengorbankan nyawa-Nya untuk domba-domba-Nya (lihat Yohanes 10:14-15).