Saya mengerutkan dahi melihat telefon bimbit saya dan mengeluh. Saya sangat risau. Saya dan seorang sahabat mempunyai perselisihan yang serius mengenai satu isu tentang anak-anak kami, dan saya sedar saya perlu menghubunginya serta meminta maaf. Saya tidak mahu melakukannya kerana pandangan kami masih bercanggah, namun saya tahu bahawa pada kali terakhir kami membincangkan perkara itu, saya tidak menunjukkan sikap yang baik atau merendahkan diri.

Ketika teragak-agak untuk membuat panggilan telefon itu, saya tertanya-tanya, Bagaimana sekiranya dia tidak memaafkan saya? Bagaimana sekiranya dia tidak mahu meneruskan persahabatan kami? Ketika itu, satu lirik lagu terlintas di fikiran dan membawa saya kembali ke saat saya mengakui dosa saya dalam situasi itu kepada Tuhan. Saya berasa lega kerana saya tahu Tuhan telah mengampuni saya dan membebaskan saya daripada rasa bersalah.

Kita tidak dapat mengawal bagaimana orang akan bertindak balas terhadap kita apabila kita cuba menyelesaikan masalah dalam sesebuah hubungan. Selagi kita mengakui tanggungjawab kita, dengan rendah hati memohon pengampunan dan membuat sebarang perubahan yang diperlukan, Tuhan yang akan mengendalikan penyembuhan tersebut. Walaupun kita harus menanggung penderitaan yang disebabkan oleh “masalah manusia” yang tidak dapat diselesaikan, kita tetap dapat berdamai dengan Tuhan. Tangan Tuhan terbuka, dan Dia sedang menunggu untuk menunjukkan kita rahmat dan belas kasihan yang kita perlukan. “Tetapi jika kita mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan berlaku adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan menyucikan kita daripada segala kesalahan” (1 Yohanes 1:9)