Perubatan Cina telah mengamalkan pengelupasan kulit dengan menggunakan serbuk mutiara selama beribu-ribu tahun. Cara ini dipercayai boleh menggosok sel kulit mati yang ada pada permukaan kulit. Di Romania pula, penggunaan tanah lumpur terapeutik yang menyegarkan adalah amat popular sebagai terapi pengelupasan kulit yang kononnya dapat menjadikan kulit awet muda dan berseri. Di seluruh dunia, manusia mengamalkan pelbagai penjagaan tubuh badan yang dipercayai dapat memperbaharui kulit bahkan yang paling kusam.

Namun begitu, amalan-amalan yang kita pupuk untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan fizikal kita hanya dapat memberi kita kepuasan sementara. Perkara yang lebih penting adalah mengekalkan kesihatan dan kekuatan rohani kita. Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, kita telah diberi kurnia pembaharuan rohani melalui-Nya. Rasul Paulus berkata, “Walaupun manusia lahiriah kami kian merosot, namun manusia batiniah kami diperbaharu setiap hari” (2 Korintus 4:16). Cabaran-cabaran yang kita hadapi setiap hari dapat membebankan kita apabila kita tunduk kepada ketakutan, luka hati dan kegelisahan. Pembaharuan rohani berlaku apabila kita “tidak mementingkan hal-hal yang kelihatan, tetapi hal-hal yang tidak kelihatan” (ayat 18). Kita berbuat demikian dengan menyerahkan kerisauan seharian kita kepada Tuhan dan berdoa agar buah Roh—termasuklah kasih, sukacita dan damai sejahtera—muncul semula dalam kehidupan kita (Galatia 5:22-23). Apabila kita menyerahkan segala kesusahan kita kepada Tuhan dan mengizinkan Roh-Nya bersinar melalui kita setiap hari, Tuhan akan memperbaharui jiwa kita.