Sekeping foto ikonik menggambarkan pijakan kasut but di sebalik latar belakang yang suram. Itulah jejak angkasawan Buzz Aldrin, yang ditinggalkannya di permukaan bulan pada tahun 1969. Menurut para saintis, jejak tersebut kemungkinan besar masih di sana dan tidak berubah langsung selepas bertahun-tahun lamanya. Tanpa angin dan air, tiada apa-apa di bulan akan terhakis, justeru apa yang berlaku di landskap bulan akan terus kekal di sana.
Namun jauh lebih mengagumkan untuk merenungkan hadirat Tuhan yang tetap. Yakobus menulis, “Segala pemberian yang baik dan sempurna diturunkan dari syurga oleh Bapa, sumber segala cahaya. Dia tidak berubah dan tidak seperti bayangan yang berubah-ubah bentuknya” (Yakobus 1:17). Rasul itu menyatakan perkara ini dalam konteks pergelutan yang kita hadapi: “Anggaplah sebagai suatu kebahagiaan apabila kamu menghadapi pelbagai cubaan” (ayat 2). Mengapakah sedemikian? Sebab kita dikasihi oleh Tuhan yang agung dan tidak sesekali berubah.
Pada saat menghadapi kesusahan, kita harus mengingati pembekalan Tuhan yang tetap dan berterusan. Kita mungkin teringat seni kata dalam lagu pujian “Besar Setia-Mu”: “Tiada pertukaran bayangan-Mu; / Kasih Setia-Mu Kekal Selamanya / Besar Setia-Mu Kepadaku.” Betul, Tuhan kita telah meninggalkan jejak-Nya yang kekal abadi di dunia ini. Tuhan akan sentiasa ada demi kita. Sungguh besar kasih setia-Nya.