Mata sahabat saya memaparkan apa yang saya rasai—ketakutan! Kami dua orang remaja telah berperangai buruk dan kini meromok di hadapan pengarah kem kami. Pengarah tersebut yang mengenali kedua-dua bapa kami, menegur dengan penuh kasih sayang tetapi dengan tegas menyatakan bahawa bapa kami akan berasa amat kecewa dengan perangai kami. Pada waktu itu, kami mahu merangkak bersembunyi di bawah meja sebab terasa beban tanggungjawab sendiri atas kesilapan kami.
Tuhan telah memberi Zefanya amanat untuk orang Yehuda yang mengandungi kata-kata penting tentang tanggungjawab sendiri terhadap dosa mereka (Zefanya 1:1, 6-7). Selepas Tuhan menjelaskan penghakiman yang akan dikenakan-Nya kepada musuh-musuh Yehuda (fasal 2), Dia mengalihkan mata-Nya kepada umat-Nya yang bersalah dan malu (fasal 3). “Malangnya kota yang derhaka dan cemar, kota yang penuh penindasan!” kata Tuhan (3:1). “Mereka semakin giat melakukan segala kemungkaran mereka” (ayat 7).
Tuhan telah melihat kekerasan hati umat-Nya—sikap mereka yang tidak peduli secara rohani, ketidakadilan sosial, dan ketamakan yang teruk—dan Tuhan mengenakan disiplin dengan penuh kasih kepada mereka. Tanpa mengira sama ada individu-individu tersebut merupakan “pembesar” atau “hakim” atau “nabi” (ayat 3-4)—mereka semua bersalah di hadapan Tuhan.
Kemudian Rasul Paulus menulis kepada orang yang percaya dalam Yesus tetapi terus degil melakukan dosa, “… kamu mengumpul musibah kemurkaan Allah yang akan menimpamu pada hari kemurkaan … Allah akan membalas kepada setiap orang setimpal dengan perbuatannya” (Roma 2:5-6). Oleh itu, dengan kuasa Yesus, marilah kita hidup dengan memuliakan Bapa kita yang suci dan penuh kasih supaya kita tidak sesal kemudian.