Every Moment Holy merupakan sebuah buku doa yang indah untuk pelbagai aktiviti, termasuklah aktiviti biasa seperti menyediakan hidangan atau mencuci pakaian. Begitu juga bagi tugasan yang perlu dilakukan tetapi terasa berulang-ulang atau tidak menarik. Buku tersebut mengingatkan saya tentang kata-kata pengarang G. K. Chesterton, yang menulis, “Anda berdoa sebelum makan. Baiklah. Akan tetapi, aku berdoa sebelum melakar, melukis, berenang, melawan pedang, bertinju, berjalan, bermain, menari, dan sebelum aku mencelupkan pen ke dalam dakwat.”
Dorongan sebegini mengubah semula perspektif saya terhadap aktiviti seharian saya. Kadangkala saya cenderung membahagikan aktiviti-aktiviti saya kepada aktiviti yang kelihatan mempunyai nilai kerohanian yang tinggi, seperti membaca bahan kebaktian/doa sebelum makan, dan aktiviti lain yang saya rasa mempunyai nilai kerohanian yang sedikit, seperti mencuci pinggan mangkuk selepas makan. Manakala Paulus menyingkirkan bentuk pemikiran tersebut dalam suratnya kepada jemaah di Kolose yang telah memilih untuk hidup demi Yesus. Paulus menggalakkan mereka dengan kata-kata yang berikut: “Segala yang kamu katakan dan lakukan haruslah dengan nama Tuhan Yesus” (3:17). Melakukan sesuatu dalam nama Yesus bermakna memuliakan-Nya ketika kita melakukannya dan yakin bahawa Roh-Nya memperkuatkan kita untuk menyempurnakan tugas tersebut.
“Segala yang kamu lakukan.” Segala aktiviti biasa dalam kehidupan kita, pada setiap saat, boleh diperkasakan oleh Roh Tuhan dan dilakukan dengan cara yang memuliakan Yesus.