Pada suatu hari, seorang pelajar perempuan darjah enam menyedari bahawa seorang rakan sekelasnya mencederakan tangannya dengan pisau cukur. Oleh sebab dia prihatin terhadap rakan itu, maka dia mengambil pisau cukur itu daripada rakannya dan membuangnya. Hairannya, tindakan perempuan itu tidak dipuji, sebaliknya dia menerima hukuman digantung sekolah selama sepuluh hari. Mengapa? Kerana dia dianggap memiliki pisau cukur walaupun hanya untuk sekejap—benda yang dilarang bawa ke sekolah. Apabila dia ditanya jika dia akan mengulangi tindakan itu, dia menjawab: “Walaupun saya akan menghadapi masalah, … saya akan melakukannya lagi.” Seperti tindakan pelajar itu yang cuba melakukan kebaikan tetapi telah mengakibatkan masalah ke atas dirinya sendiri (hukuman digantung sekolah kemudian dibatalkan), Yesus yang campur tangan juga menyebabkan Dia bermasalah dengan para pemimpin agama.
Masa itu Yesus menyembuhkan seorang lelaki yang lumpuh sebelah tangannya. Namun orang-orang Farisi mentafsirkan tindakan Yesus ini telah melanggar peraturan-peraturan mereka. Kristus bertanya kepada mereka jika umat Tuhan dibenarkan untuk menjaga binatang dalam situasi yang teruk pada hari Sabat, “Betapa lebih berharganya manusia daripada domba?” (Matius 12:12). Memandangkan Dia ialah Tuhan atas hari Sabat, maka apa yang diperbolehkan dan tidak diperbolehkan pada hari Sabat adalah dalam kawalan Yesus (ayat 6-8). Walaupun mengetahui bahawa para pemimpin agama itu akan berasa tersinggung, Dia tetap menyembuhkan tangan orang tersebut (ayat 13-14).
Kadangkala orang yang percaya kepada Kristus boleh berada dalam “masalah yang baik”—melakukan sesuatu yang meninggikan nama-Nya tetapi membuatkan beberapa pihak tidak senang hati—apabila mereka membantu orang yang ada keperluan. Ketika kita melakukannya dengan pimpinan Tuhan, kita menjadi seperti Yesus dan mendedahkan bahawa manusia adalah lebih penting berbanding peraturan dan upacara.