Penganalisis perniagaan iaitu Francis Evans pernah menyelidiki 125 orang penjual insurans untuk mengetahui sebab yang membuatkan mereka berjaya. Apa yang mengejutkan, persaingan bukanlah faktor utama. Sebaliknya, Evans mendapati para pelanggan lebih suka membeli daripada para penjual yang mempunyai pandangan politik, pendidikan dan malah ketinggian tubuh yang sama dengan mereka. Para cendekiawan menggelar ini sebagai homophily: kecenderungan untuk memilih orang yang serupa dengan kita.

Homophily juga wujud dalam bidang kehidupan yang lain. Sebagai contoh, kita cenderung berkahwin dan berteman dengan orang yang serupa dengan kita. Walaupun hal ini merupakan sesuatu yang semula jadi, tetapi ini juga bahaya jika dibiarkan. Apabila kita hanya menyukai orang yang “sama jenis”, masyarakat akan berpecah mengikut garis perkauman, politik dan ekonomi.

Pada abad pertama, orang Yahudi hanya bergaul dengan orang Yahudi, Yunani dengan Yunani, dan yang kaya tidak pernah bergaul dengan yang miskin. Tetapi dalam Roma 16:1-16, Paulus menjelaskan gereja di Roma terdiri daripada Priskila dan Akwila (orang Yahudi), Epenetus (orang Yunani), Febe (seorang “yang mengabdikan diri kepada jemaah,” mungkin seorang yang kaya), dan Filologus (nama yang biasanya digunakan oleh hamba). Apakah yang telah menyatukan orang-orang yang berbeza ini? Yesus—tidak ada “lagi orang Yahudi atau orang Yunani, hamba atau orang merdeka” (Galatia 3:28).

Sudah menjadi perkara biasa untuk hidup, bekerja, dan pergi ke gereja dengan orang-orang yang serupa dengan kita. Tetapi Yesus mendorong kita merentasi hal itu. Di dunia yang terbahagi kepada berbagai-bagai garis pemisah, Dia menyatukan kita yang berbilang jenis untuk menjadi sebagai satu keluarga dalam Kristus.