Ketika Mary Slessor berlayar ke negara Calabar di Afrika (sekarang Nigeria) pada akhir 1800-an, dia bersemangat untuk meneruskan kerja penginjilan mendiang David Livingstone. Tugasan pertamanya ialah mengajar di sekolah sambil tinggal dalam kalangan mubaligh. Namun ini menyebabkan dia berasa tertekan kerana harus melayani dengan cara yang berbeza. Jadi dia melakukan sesuatu yang asing di kawasan tersebut—dia tinggal bersama dengan orang yang dilayaninya. Mary mempelajari bahasa mereka, hidup dalam kalangan mereka, dan makan makanan mereka. Malah dia juga menjaga ramai kanak-kanak yang telah ditinggalkan. Selama hampir empat puluh tahun, dia membawa kedua-dua harapan dan Injil kepada orang yang memerlukan.
Rasul Paulus tahu akan kepentingan untuk benar-benar memenuhi keperluan orang di sekeliling kita. Dia mengatakan dalam 1 Korintus 12:4-5 bahawa ada “berbagai-bagai kurnia, tetapi semuanya berpunca daripada satu Roh,” dan “ada berbagai-bagai pelayanan, tetapi hanya satu Tuhan.” Maka dia melayani menurut keperluan mereka. Sebagai contoh, “bagi mereka yang lemah, [dia] berlaku lemah untuk menawan hati mereka” (9:22).
Sebuah gereja yang saya ketahui baru-baru ini mengumumkan pelancaran pelayanan “semua kebolehan” yang lengkap dengan kemudahan tanpa halangan, yang membolehkan orang kurang upaya mengikuti ibadah. Pemikiran seperti inilah yang dimiliki oleh Paulus, yang memenangi hati dan membolehkan Injil berkembang dalam sebuah komuniti.
Sementara kita hidup sebagai orang beriman dalam kalangan orang-orang di sekitar kita, semoga Tuhan memimpin kita memperkenalkan Yesus kepada mereka dengan cara yang baru dan bersemangat.