Bridger Walker baru berusia enam tahun ketika seekor anjing garang menerkam adik perempuannya. Bridger dengan pantas melompat ke depan adiknya untuk melindunginya daripada serangan anjing ganas itu. Setelah mendapat rawatan kecemasan dan menjalani sembilan puluh jahitan di wajahnya, Bridger menjelaskan tindakannya itu. “Jika ada sesiapa yang harus mati, saya fikir itu seharusnya saya.” Tetapi syukur, ahli bedah plastik telah membantu menyembuhkan wajah Bridger. Kasih mendalam seorang abang terhadap adiknya tidak berubah dan jelas terserlah dalam gambar-gambar terbaru mereka, gambar yang dia memeluk adik perempuannya.
Sebagai keluarga, kita sewajarnya saling mengawasi dan menjaga. Adik-beradik yang sejati saling membantu dan bersama ketika dalam kesulitan, ketakutan atau sendirian. Tetapi pada realitinya, saudara kita yang paling baik pun tidak sempurna; malah ada yang melukai kita. Namun kita memiliki seorang saudara, iaitu Yesus. Kitab Ibrani mengatakan bahawa Kristus menunjukkan kasih-Nya dengan merendahkan diri-Nya, hidup bersama dengan manusia, berkongsi “tubuh manusia” seperti kita, “dalam segala hal Dia harus disamakan” dengan manusia (2:14, 17). Yesus ialah saudara kita yang sejati, Dia memanggil kita “saudara-saudara” (ayat 11).
Kita memanggil Yesus sebagai Penyelamat, Sahabat dan Raja kita—dan semua itu adalah benar. Namun Yesus juga ialah saudara kita yang pernah mengalami ketakutan, godaan, keputusasaan, atau kesedihan seperti yang dialami oleh manusia. Dia saudara kita yang sentiasa bersama dengan kita.