“Ibadah sudah selesai?” tanya seorang ibu muda yang baru sampai di gereja kami dengan membawa dua orang anaknya yang masih kecil ketika ibadah baru sahaja selesai. Tetapi seorang penyambut tetamu memberitahunya bahawa ada sebuah gereja lain yang berdekatan akan mengadakan dua sesi ibadah, dan sesi kedua itu akan bermula tidak lama lagi. Kemudian penyambut tetamu bertanya sama ada ibu muda itu memerlukan kenderaan untuk ke sana? Ibu muda itu mengatakan ya, dan dia bersyukur kerana dapat pergi ke gereja tersebut dengan hanya melintasi beberapa buah bangunan. Apabila penyambut tetamu itu berfikir kemudian, dia membuat kesimpulan ini; “Adakah ibadah sudah selesai? Tidak. Gereja Tuhan berjalan selama-lamanya.”
Gereja bukanlah sebuah “bangunan” yang rapuh. Gereja ialah keluarga Tuhan yang setia dan merupakan “ahli-ahli keluarga Allah,” tulis Paulus, “yang telah dibina atas asas para rasul dan para nabi, dengan Kristus Yesus sendiri sebagai batu penjuru utama. Dalam Kristus seluruh bangunan itu disatukan lalu menjadi Bait Suci dalam Tuhan, maka dalam-Nya kamu pun dibina bersama menjadi tempat kediaman Allah dalam Roh” (Efesus 2:19-22).
Yesus mendirikan gereja-Nya untuk selama-lamanya. Dia mengisytiharkan bahawa meskipun cabaran atau masalah melanda gereja-Nya, “Alam maut pun tidak dapat merobohkannya” (Matius 16:18).
Melalui lensa yang memperkasakan ini, kita dapat melihat gereja lokal—semua kita—sebagai sebahagian gereja sejagat Tuhan, yang telah dibina “dalam Kristus Yesus zaman-berzaman selama-lamanya!” (Efesus 3:21).