Selepas saya memasuki tangki pengasingan dan badan saya terapung dengan selesa di atas air, bilik pun menjadi gelap dan muzik lembut yang dimainkan sebagai latar belakang menjadi senyap. Saya telah membaca bahawa tangki ini bersifat terapeutik, menawarkan kelegaan kepada penggunanya daripada tekanan dan keresahan. Akan tetapi, ini merupakan sesuatu yang tidak pernah saya alami. Huru-hara di dunia ini seolah-olah sudah reda, dan saya dapat mendengar suara hati saya dengan jelas. Pengalaman semasa sesi itu menghasilkan rasa stabil dan segar semula dalam diri saya, sambil menyedari bahawa ada kuasa ketika mendiamkan diri dalam keheningan.
Kita dapat beristirahat dengan selesa dalam keheningan hadirat Tuhan, yang memperbaharu kekuatan kita dan memberi kita kebijaksanaan yang diperlukan untuk menangani cabaran yang kita hadapi setiap hari. Apabila kita berdiam dengan membungkam kebisingan dan menghilangkan gangguan dalam hidup kita, Dia menguatkan kita supaya kita dapat mendengar suara-Nya yang lembut dengan lebih jelas (MAZMUR 37:7).
Walaupun menggunakan ruang pengurangan deria sebagai satu cara untuk mencapai keheningan, Tuhan menawarkan cara yang lebih mudah untuk meluangkan masa bersama-Nya tanpa gangguan. Dia berfirman, “Tetapi kamu, masuklah ke dalam bilik, tutup pintu dan berdoalah kepada Bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata” (MATIUS 6:6). Tuhan akan memimpin langkah kita dan perbenaran-Nya akan bersinar terang melalui kita apabila kita mencari jawapan kepada cabaran hidup dalam keheningan hadirat-Nya yang indah (MAZMUR 37:5-6).