Apabila bayi menangis, itu isyarat bahawa anak itu letih atau lapar, bukan? Ya, menurut para doktor di Universiti Brown, perbezaan halus dalam tangisan bayi yang baru lahir juga dapat memberikan petunjuk penting tentang masalah lain. Para doktor telah mencipta program komputer yang mengukur faktor tangisan seperti nada, kelantangan dan tahap bunyi tangisan untuk menentukan sama ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem saraf pusat bayi.
Yesaya bernubuat bahawa Tuhan akan mendengar seruan umat-Nya untuk menentukan keadaan hati mereka, dan Dia menyahut dengan kasih kurnia. Namun Yehuda tidak mendapatkan petunjuk daripada Tuhan, malah tidak mengendahkan nabi-Nya dan meminta pertolongan dengan membentuk perikatan dengan Mesir (YESAYA 30:1-7). Tuhan berfirman kepada mereka bahawa jika mereka memilih untuk meneruskan pemberontakan mereka, Dia akan membawa kekalahan dan penghinaan terhadap mereka. Bagaimanapun, Dia juga “…menanti-nantikan saat untuk mengasihani [mereka], itulah sebabnya Dia bangkit untuk menyayangi [mereka]” (AYAT 18). Penyelamatan akan datang, tetapi hanya melalui seruan pertaubatan dan iman mereka. Jika umat Tuhan berseru kepada-Nya, Dia akan mengampunkan dosa-dosa mereka serta memperbaharui kekuatan dan kerohanian mereka (AYAT 8-26).
Perkara yang sama juga berlaku ke atas orang yang percaya kepada Yesus pada hari ini. Apabila seruan pertaubatan dan kepercayaan kita sampai kepada Bapa Syurgawi kita, Dia mendengarnya, mengampuni kita, dan memperbaharui sukacita serta harapan kita dalam-Nya.