Natalia pergi ke negara lain atas janji untuk menerima pendidikan. Akan tetapi, tidak lama kemudian bapa dalam keluarga baharunya mula menderanya secara fizikal dan seksual. Dia memaksa Natalia menjaga rumah dan anak-anaknya tanpa gaji. Dia enggan membenarkan Natalia keluar dari rumah atau menggunakan telefon. Natalia telah menjadi hambanya.

Hagar ialah hamba perempuan orang Mesir kepada Abram dan Sarai. Kedua-dua mereka langsung tidak memanggil namanya. Mereka memanggilnya sebagai “hambaku” atau “hambamu” (KEJADIAN 16:2, 5-6). Mereka hanya mahu mempergunakannya supaya mereka dapat memperoleh waris.

Betapa berbezanya Tuhan! Malaikat Tuhan menampakkan diri-Nya kali pertama dalam Alkitab ketika Dia bercakap dengan Hagar yang hamil di gurun. Malaikat itu sama ada utusan Tuhan atau Tuhan sendiri. Hagar percaya bahawa Dialah Tuhan, kerana dia berkata, “Sesungguhnya aku nampak Dia yang melihat aku” (AYAT 13). Jika malaikat itu Tuhan, Dia mungkin ialah Yesus yang menyatakan Tuhan kepada kita dengan membuat penampakan awal (prainkarnasi). Dia menyebut namanya, “Wahai Hagar, hamba Sarai, dari manakah kamu dan hendak ke mana?” (AYAT 8)

Tuhan melihat Natalia dan membawa orang yang prihatin ke dalam hidupnya untuk menyelamatkannya. Dia sekarang belajar dalam jurusan kejururawatan. Tuhan melihat Hagar dan memanggil namanya. Tuhan juga melihat anda. Anda mungkin diabaikan, atau paling teruk, didera. Yesus memanggil anda dengan nama anda. Datanglah kepada-Nya.