Saya begitu teruja dapat menanami kebun di belakang rumah kami dengan buah-buahan dan sayur-sayuran. Namun kemudiannya saya mula nampak lubang-lubang kecil di dalam tanah. Belum sempat masak, buah sulung kami hilang secara misteri. Pada suatu hari, saya terkejut kerana mendapati pokok strawberi terbesar kami tercabut sepenuhnya oleh arnab yang bersarang dan lecuh oleh terik matahari. Alangkah baiknya saya memberi perhatian yang lebih teliti kepada tanda-tanda amaran sebelum ini!

Puisi cinta yang indah dalam Kidung Agung merakamkan perbualan antara seorang teruna dengan seorang perawan. Sewaktu memanggil buah hatinya, teruna itu dengan tegas memberikan amaran tentang haiwan yang akan merosakkan kebun pasangan kekasih itu, iaitu satu metafora untuk hubungan mereka. “Tangkaplah untuk kami segala rubah itu, rubah yang kecil-kecil, yang merosakkan kebun-kebun anggur,” katanya (KIDUNG AGUNG 2:15). Mungkin dia nampak tanda-tanda “rubah” yang dapat menjejaskan percintaan mereka, seperti rasa cemburu, marah, tipu daya atau sikap tidak peduli. Oleh sebab dia menyenangi kecantikan mempelai perempuannya (AYAT 14), dia tidak akan bertolak ansur dengan kehadiran sesuatu yang tidak baik. Baginya, kekasihnya berharga seperti “bunga bakung di antara duri” (AYAT 2). Dia sanggup berusaha sungguh-sungguh untuk menjaga hubungan mereka.

Antara anugerah Tuhan yang paling berharga kepada kita ialah kaum keluarga dan sahabat handai, walaupun hubungan itu tidak selalunya mudah untuk dipelihara. Dengan kesabaran, penjagaan, dan perlindungan daripada “rubah-rubah kecil,” kita percaya bahawa Tuhan akan menumbuhkan buah yang indah.