Dalam artikel hebat yang bertajuk “Adakah Anak Lelakiku Mengenali Anda?”, wartawan sukan yang bernama Jonathan Tjarks menceritakan perjuangannya melawan kanser tahap akhir serta keinginannya untuk orang lain menjaga isteri dan anak mudanya dengan baik. Wartawan yang berumur tiga puluh empat tahun itu menulis artikel tersebut enam bulan sebelum kematiannya. Tjarks, seorang yang percaya kepada Yesus, yang bapanya telah meninggal dunia ketika dia masih muda, telah berkongsi ayat Alkitab yang menyatakan penjagaan balu dan anak yatim (Keluaran 22:22; Yesaya 1:17; Yakobus 1:27). Dalam kata-katanya yang ditujukan kepada sahabat-sahabatnya, dia juga menulis, “Apabila aku bertemu dengan anda di syurga, hanya satu soalan yang aku akan tanya—Adakah anda melayan anak lelaki dan isteriku dengan baik? Adakah anak lelakiku mengenali anda?
Raja Daud tertanya-tanya, “Masih adakah orang yang tinggal daripada keluarga Saul? Maka aku akan menunjukkan kasihku kepadanya demi Yonatan” (2 SAMUEL 9:1). Anak lelaki Yonatan, iaitu Mefiboset, seorang yang “tempang kedua-dua belah kakinya” (2 SAMUEL 9:3) akibat kemalangan (lihat 2 SAMUEL 4:4), telah dibawa ke hadapan Raja Daud. Daud berkata kepadanya, “Janganlah takut, kerana aku pasti akan menunjukkan kasihku kepadamu demi Yonatan, ayahmu. Aku akan mengembalikan kepadamu segala ladang Saul, datukmu, dan engkau akan selalu makan di mejaku” (2 SAMUEL 9:7). Daud menyayangi dan menjaga Mefiboset, dan itulah sebabnya lama-kelamaan, kemungkinan besar raja itu telah benar-benar mengenalinya (lihat 2 SAMUEL 19:24-30).
Yesus memanggil kita mengasihi orang lain sepertimana Dia mengasihi kita (YOHANES 13:34). Semasa Yesus bekerja dalam dan melalui kita, marilah kita benar-benar mengenali dan mengasihi mereka.