Saya mematikan telefon saya, berasa bosan dengan bermacam-macam imej, idea dan notifikasi yang muncul berterusan pada skrin telefon. Namun tidak lama kemudian, saya mengambil dan menghidupkannya semula. Mengapa?
Dalam buku hasil tulisan Nicholas Carr yang bertajuk The Shallows, dia menjelaskan bagaimana internet telah membentuk hubungan kita dengan kesunyian: “Kelihatannya jaringan internet sedang menyisihkan keupayaan saya untuk memberi tumpuan dan berfikir. Tidak kira sama ada saya dalam talian atau tidak, minda saya kini sudah biasa untuk memperoleh informasi sepertimana saya melayari internet: melalui zarah-zarah yang bergerak pantas. Satu ketika saya seolah-olah seorang penyelam yang memasuki lautan perkataan. Kemudian saya meluncur seperti seorang lelaki yang memandu jet ski.”
Menjalani kehidupan seperti memandu jet ski yang laju bukanlah perkara yang baik. Tetapi bagaimanakah kita patut mula untuk memperlahankannya, menyelam ke dalam air kerohanian yang tenang?
Dalam Mazmur 131, Daud menulis, “Sesungguhnya, aku telah menenangkan dan menenteramkan jiwaku” (ayat 2). Kata-kata Daud mengingatkan saya bahawa saya mempunyai tanggungjawab. Mengubah tabiat bermula dengan pilihan saya untuk bertenang—walaupun jika saya mesti membuat pilihan tersebut berulang kali. Namun, perlahan-lahan, kita akan mengalami kebaikan Tuhan yang memberi kepuasan. Seperti seorang anak kecil, kita berehat dalam kepuasan, menyedari bahawa harapan hanya dapat diperoleh dalam Dia (ayat 3). Inilah kepuasan jiwa yang tidak dapat diberikan oleh apa-apa aplikasi telefon pintar dan laman media sosial.