Lebih daripada 30 tahun, Lourdes, seorang guru vokal di Manila, telah mengajar murid-muridnya secara bersemuka. Apabila dia disuruh untuk membuat kelas dalam talian, dia berasa cemas. “Aku tidak pandai menggunakan komputer,” katanya. “Komputer riba aku sudah lama, dan aku pun tidak biasa dengan platform konferensi video.”
Walaupun ini mungkin nampak seperti perkara kecil bagi sesetengah orang, ia merupakan tekanan yang berat baginya. “Aku tinggal seorang diri, jadi tiada sesiapa yang dapat menolongku,” katanya. “Aku risau murid-murid aku akan berhenti belajar, dan aku memerlukan pendapatan.”
Sebelum memulai setiap kelas, Lourdes akan berdoa untuk komputer ribanya supaya berfungsi dengan baik. “Filipi 4:5-6 menjadi latar belakang skrin komputer saya,” tambahnya. “Begitulah caranya aku berpegang pada kata-kata Tuhan.”
Paulus mendorong kita supaya tidak khuatir akan apa pun, kerana “Tuhan ada berhampiran” (Filipi 4:5). Kita harus berpegang teguh pada janji Tuhan bahawa Dia menyertai kita. Semasa yakin akan kehadiran Tuhan dan menyerahkan segalanya kepada-Nya dalam doa—baik perkara besar mahupun kecil—sejahtera Tuhan akan memelihara “hati dan fikiranmu dalam Kristus Yesus” (ayat 7).
“Tuhan memimpin saya melayari laman sesawang dan belajar tentang membaiki gangguan komputer,” kata Lourdes. “Dia juga memberikan murid-murid yang penyabar dan memahami keterbatasan saya ketika menggunakan alat teknologi.” Kehadiran Tuhan, pertolongan dan damai sejahtera daripada-Nya adalah untuk kita nikmatinya ketika kita mengikut-Nya di sepanjang kehidupan kita. Kita boleh berkata dengan yakin: “Bersukacitalah dalam Tuhan sentiasa. Kukatakan lagi: Bersukacitalah!” (ayat 4).