Faye menyentuh parut di bahagian abdomennya. Dia telah menjalani satu lagi pembedahan untuk mengeluarkan tumor dalam esofagus (salur makanan yg terletak di antara tekak dan perut). Kali ini doktor telah membedah sebahagian perutnya dan meninggalkan satu parut yang kasar dan panjang. Dia memberitahu suaminya, “Parut ini sama ada melambang penderitaan daripada penyakit kanser, atau satu permulaan penyembuhan. Saya memilih supaya parut ini menjadi satu simbol penyembuhan.”

Yakub menghadapi pilihan yang serupa selepas bergelut sepanjang malam dengan Tuhan. Dia memukul pangkal paha Yakub, memenatkan Yakub dan menyebabkan dia tempang. Beberapa bulan kemudian, apabila Yakub mengurut pangkal pahanya, saya tertanya-tanya apakah yang difikirkannya ?

Adakah dia dipenuhi dengan rasa kesal akan penipuannya selama bertahun-tahun yang telah memaksa perlawanan yang malang ini? Utusan Ilahi itu telah bergelut dengan Yakub untuk mendedahkan watak sebenarnya, dan menolak untuk memberkati Yakub sehingga dia mengaku siapa dia sebenarnya. Akhirnya dia mengaku dia ialah Yakub, “pemegang tumit” (lihat Kejadian 25:26). Dia telah memperdayakan abangnya, Esau dan ayah mentuanya, Laban, malah menipu mereka untuk memperoleh faedah. Akhirnya, utusan Ilahi itu berkata nama baru Yakub ialah “Israel, kerana kamu sudah berjaya bergelut dengan Allah dan dengan manusia” (Kejadian 32:28).

Yakub yang menjadi tempang melambangkan hidup lamanya yang penuh penipuan sudah mati dan dia memulakan kehidupan baharu dengan Tuhan. Inilah pengakhiran Yakub dan permulaan Israel. Yakub yang tempang memimpin dia bersandar pada Tuhan, yang kini bekerja dalam dan melalui dia.