Abraham Lincoln menceritakan kepada seorang kawan, “Ada banyak kali saya sudah tidak dapat tahan lagi, hampir putus asa dan tidak tahu apa hendak dibuat, kecuali berdoa.” Pada tahun-tahun yang mengerikan semasa Perang Saudara Amerika, Presiden Lincoln bukan hanya menghabiskan masa berdoa dengan bersungguh-sungguh tetapi juga menyeru rakyat di negara itu menyertainya. Pada tahun 1861, dia mengisytiharkan “hari penghinaan, doa dan puasa.” Dan dia melakukannya sekali lagi pada tahun 1863, dengan menyatakan, “Ini adalah tanggungjawab sesebuah negara dan manusia untuk mengakui kebergantungan mereka kepada Tuhan yang berkuasa: untuk mengakui dosa dan salah laku mereka dengan kerendahan hati, namun dengan harapan yang pasti bahawa pertaubatan yang tulus akan membawa rahmat dan pengampunan.”
Selepas orang Israel menjadi tawanan di Babilon selama 70 tahun, Raja Kores telah mengisytiharkan bahawa mana-mana orang Israel yang ingin kembali ke Yerusalem boleh pergi. Apabila Nehemia, seorang yang berbangsa Israel (Nehemia 1:6) dan seorang jururasa santapan kepada raja Babilon (ayat 11), menyedari bahawa sisa orang Israel yang telah kembali ke Yerusalem itu berada “dalam kesusahan besar dan dalam keadaan tercela” (ayat 3), dia pun duduk dan menangis, serta berkabung, berpuasa dan berdoa beberapa hari (ayat 4). Dia bergelut dalam doa untuk bangsanya (ayat 5-11). Dan kemudian, dia juga menyeru bangsanya untuk berpuasa dan berdoa (9:1-37).
Berabad kemudian, pada zaman Empayar Rom, Paulus juga menggesa para pembacanya berdoa bagi semua yang memegang kuasa (1 Timotius 2:1-2). Tuhan kita masih mendengar doa kita tentang perkara yang mempengaruhi kehidupan orang lain.