“Tolong bersihkan bilik depan sebelum kamu masuk tidur,” kata saya kepada salah seorang anak perempuan saya. Dia membalas dengan serta-merta, “Kenapa dia tidak perlu buat?”

Cara lembut enggan menurut sebegini biasalah di dalam rumah kami ketika anak-anak perempuan kami masih kecil. Respons saya sentiasa sama: “Biarlah mereka itu; yang mak suruh itu kamu.”

Dalam Yohanes 21, kita melihat ragam manusia ini ditunjukkan dalam kalangan murid-murid. Yesus baru sahaja meneguhkan hati Petrus selepas dia menyangkal Yesus sebanyak tiga kali (lihat Yohanes 18:15-18, 25-27). Yesus berkata kepada Petrus, “Ikutlah aku!” (21:19)—satu arahan yang mudah tetapi susah. Yesus menjelaskan bahawa Petrus akan mengikut Yesus sehingga kepada kematiannya, yang akan membawa kemuliaan kepada Tuhan (ayat 18-19).

Petrus tidak mempunyai masa untuk memahami kata-kata Yesus sebelum dia bertanya tentang murid di belakang mereka: “Tuhan, bagaimana dengan orang ini?” (ayat 21). Yesus menjawab, “Sekiranya Aku mahu dia tetap ada hingga Aku datang kembali, apa kena-mengenanya denganmu?” Selepas itu Dia berkata, “Kamu ikutlah Aku” (ayat 22).

Kita sering kali seperti Petrus! Kita mempersoalkan perjalanan iman orang lain dan bukan apa yang Tuhan ingin lakukan dengan kita. Di akhir hidupnya, apabila kematian yang dinubuatkan oleh Yesus dalam Yohanes 21 semakin dekat, Petrus menghuraikan perintah sederhana Yesus: “Jadilah anak-anak yang taat akan Allah, dan janganlah hidup mengikut nafsumu seperti dahulu, sebelum kamu mengenal-Nya. Pastikanlah segala perbuatanmu suci, sebagaimana Tuhan yang memanggilmu itu suci” (1 Petrus 1:14-15). Itu sudah cukup untuk memastikan kita fokus kepada Yesus dan bukan kepada orang di sekeliling kita.