Seorang penulis Kristian abad ke-15, Teresa yang berasal dari Avila, menuliskan, “Dalam segala-galanya / kita mencari cara yang menyenangkan untuk melayani Tuhan,” Dia merenung dengan perasaan yang pilu terhadap kita yang mencari banyak cara untuk terus berkuasa melalui cara yang lebih mudah, cara yang lebih “menyenangkan”, tetapi enggan berserah sepenuhnya kepada Tuhan. Kita cenderung bersikap perlahan-lahan, tidak tegas pendirian, malah berat hati hendak mempercayai Tuhan dengan segenap hati kita. Oleh itu, Teresa mengaku, “apabila kami menyerahkan kehidupan kami kepada-Mu / sedikit demi sedikit, / kami mesti berpuas hati / menerima kasih kurnia-Mu setitik demi setitik, / sehingga kami menyerahkan hidup kami sepenuhnya kepadamu.”
Sebagai manusia, bagi kebanyakan orang, kepercayaan kita tidak wujud secara semula jadi. Jadi, jika mengalami rahmat dan kasih Tuhan harus bergantung pada keupayaan kita untuk mempercayai dan menerimanya, kita akan menghadapi masalah yang besar! Namun, seperti yang kita baca dalam 1 Yohanes 4, “Tuhan terlebih dahulu mengasihi kita” (ayat 19). Dia mengasihi kita lama sebelum kita mengasihi Dia, sehingga Dia sanggup mengorbankan Anak-Nya untuk kita. “Demikianlah kasih,” Yohanes menulis dengan penuh perasaan kagum dan kesyukuran (ayat 10).
Secara beransur-ansur, dengan lembut, sedikit demi sedikit, Tuhan menyembuhkan hati kita untuk menerima kasih-Nya—setitik demi setitik, kasih kurnia-Nya menolong kita menyerahkan ketakutan kita (ayat 18). Setitik demi setitik, kasih kurnia-Nya akan mendekati hati kita sehinggalah kita mendapati bahawa diri kita telah mengalami keindahan Tuhan dan kasih-Nya yang berlimpah.