Kami telah mengenali Kha selama lebih daripada setahun. Dia ialah salah seorang ahli kumpulan kecil kami dari gereja yang bertemu setiap minggu untuk membincangkan perkara yang telah kami pelajari tentang Tuhan. Pada suatu petang, semasa perjumpaan sedang berlangsung, Kha menyatakan bahawa dia pernah bertanding dalam Sukan Olimpik. Pengakuannya begitu santai sehingga kisah dia hampir terlepas daripada perhatian saya. Hampir. Dengan itu, saya mendapati bahawa rupa-rupanya saya mengenali seorang atlet Olimpik yang pernah bertanding dalam perlawanan pingat gangsa! Saya tidak mampu memahami sebabnya dia tidak pernah mengungkit tentang perkara tersebut sebelum ini, tetapi bagi Kha, walaupun pencapaian sukannya adalah kisah yang istimewa untuknya, perkara-perkara yang lebih penting bagi membentuk identitinya telah menjadi: keluarga, komuniti dan kepercayaannya.

Kisah dalam Lukas 10:1-23 menerangkan apa yang harus menjadi tumpuan bagi identiti kita. Apabila tujuh puluh dua orang yang telah diutus oleh Yesus untuk memberitahu orang lain tentang kerajaan Tuhan telah kembali daripada perjalanan mereka, mereka melaporkan kepada Yesus, “demi nama-Mu segala roh iblis pun menurut perintah kami” (ayat 17). Walaupun Yesus mengakui bahawa Dia telah melengkapkan mereka dengan kuasa dan perlindungan yang luar biasa, Dia mengatakan bahawa mereka telah menumpukan perhatian kepada perkara yang salah. Yesus menegaskan bahawa tujuan mereka untuk bersukacita sepatutnya adalah kerana “namamu tercatat di syurga” (ayat 20).

Di atas segala pencapaian atau kebolehan yang diberikan Tuhan kepada kita, hendaknya kita bersukacita atas sebab terutama ini: kita telah meletakkan kepercayaan kita kepada Yesus, nama kita tertulis di syurga, dan kita dapat menikmati kehadiran-Nya setiap hari dalam kehidupan kita.