Saya merasakan denyutan jantung saya meningkat apabila saya membuka mulut untuk menyangkal tuduhan yang didakwa oleh seorang rakan karib terhadap saya. Apa yang saya siarkan dalam talian tidaklah berkaitan dengannya seperti yang dibayangkannya. Namun, sebelum saya menjawab, saya membisikkan doa. Saya kemudian menenangkan diri dan mendengar apa yang sedang di katakannya dan rasa sakit hati di sebalik kata-katanya. Jelaslah bahawa hal tersebut lebih rumit daripada yang kelihatan. Rakan saya sedang dalam kesakitan, dan keperluan saya untuk mempertahankan diri saya terus hilang kerana saya memilih untuk membantu menangani kesakitannya.

Dalam perbualan tersebut, saya telah memahami apa yang dimaksudkan Yakobus dalam Alkitab, apabila dia menggesa kita untuk “cepat mendengar, lambat bercakap, dan lambat menjadi marah” (1:19). Dengan memasang telinga kita, kita boleh mendengar dengan teliti apa yang mungkin dimaksudkan di sebalik kata-kata dan mengelakkan kemarahan, kerana “Orang yang marah tidak dapat melakukan perbuatan yang benar dan diredai Allah” (ayat 20). Dengan berbuat demikian, kita mampu mendengar isi hati orang yang tengah bercakap. Saya berpendapat bahawa berhenti seketika dan berdoa banyak membantu saya dalam menghadapi luahan hati rakan saya. Saya menjadi lebih sensitif kepada kata-katanya berbanding dengan perasaan saya sendiri. Jika pada ketika itu saya tidak berhenti untuk berdoa, saya mungkin akan meluahkan perasaan saya dan menyatakan betapa tersinggungnya perasaan saya.

Walaupun saya tidak selalu mengikuti arahan Yakobus, pada hari tersebut, saya fikir saya telah berjaya melakukannya. Tindakan berhenti seketika untuk membisikkan doa sebelum membiarkan perasaan kemarahan dan tersinggung menguasai saya ialah kunci untuk cepat mendengar dan lambat bercakap. Saya berdoa agar Tuhan memberi saya kebijaksanaan untuk berkelakuan sebegini dengan lebih kerap (Amsal 19:11).