Tuhan, mengapakah perkara ini berlaku? Adakah ini benar-benar rancangan-Mu bagi kami?
Sebagai seorang suami dan bapa kepada anak-anak yang masih muda, soalan-soalan sebegini dan lebih banyak lagi sering berputar-putar dalam fikiran saya ketika saya bergelut dengan diagnosis kanser yang serius. Tambahan pula, keluarga kami baru sahaja melayani bersama dengan sebuah pasukan misi yang telah melihat ramai kanak-kanak menerima Yesus sebagai Penyelamat mereka. Tuhan telah menghasilkan buah yang nyata. Begitu banyak kegembiraan yang terhasil. Namun, mengapakah perkara sebegini berlaku pada waktu ini?
Kemungkinan besar banyak soalan dan doa yang dibawa oleh Ester kepada Tuhan selepas dia dibawa keluar dari rumah yang penuh dengan kasih dan dimasukkan ke dalam dunia baru yang asing (Ester 2:8). Sepupunya, Mordekhai telah membesarkannya sebagai anak perempuannya sendiri selepas dia menjadi anak yatim piatu (ayat 7). Namun, kemudian dia telah ditempatkan dalam istana raja dan akhirnya dilantik menjadi permaisuri raja (ayat 17). Pada waktu tersebut, Mordekhai amat bimbang tentang apa yang “telah berlaku kepada” Ester (ayat 11). Tetapi lama-kelamaan, mereka berdua menyedari bahawa Tuhan telah memanggil Ester untuk berada di tempat yang berkuasa besar “mungkin untuk saat seperti inilah” (4:14)—tempat yang bangsanya dapat diselamatkan daripada dihapuskan (fasal 7–8).
Jelas sekali bahawa Tuhan telah meletakkan Ester di tempat yang asing sebagai sebahagian rancangan-Nya yang sempurna. Hal yang sama juga dilakukan Tuhan kepada diri saya. Ketika lama bergelut dengan kanser, saya mendapat peluang untuk berkongsi iman saya dengan ramai pesakit dan penjaga di hospital. Adakah Tuhan telah membawa anda di tempat yang asing? Percayalah kepada-Nya. Tuhan itu baik, Dia menyediakan rancangan yang terbaik bagi kita (Roma 11:33-36).