Seorang pastor muda berdoa setiap pagi untuk meminta Tuhan memakainya pada hari berkenaan untuk memberkati seseorang. Selalunya, situasi sebegini akan timbul dan menggembirakannya. Suatu hari pada waktu rehat di tempat kerjanya, dia duduk di bawah sinaran matahari bersama rakan sekerja yang bertanya kepadanya tentang Yesus. Pastor tersebut menjawab segala soalan yang diajukan oleh lelaki itu. Tiada kata-kata kasar. Tiada pertengkaran. Pastor tersebut mengatakan bahawa Roh Kudus telah memimpinnya untuk mengadakan perbualan santai yang terasanya amat bermakna tetapi penuh dengan kasih. Selain itu, dia juga memperoleh seorang sahabat baharu—seseorang yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam tentang Tuhan.
Membiarkan Roh Kudus memimpin kita merupakan cara yang terbaik untuk memberitahu orang lain tentang Yesus. Dia memberitahu murid-murid-Nya, “Tetapi kamu akan menerima kuasa apabila Roh Kudus datang ke atasmu; dan kamu akan menjadi saksi-Ku” (Kisah Para Rasul 1:8).
Buah Roh “ialah kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan, lemah lembut dan penguasaan diri” (Galatia 5:22-23). Dengan menjalani kehidupan di bawah pimpinan Roh Kudus, pastor tersebut menerapkan ajaran yang diarahkan oleh Petrus: “sentiasa bersedia memberikan jawapan yang meyakinkan apabila seseorang bertanyakan asas harapan dalam hatimu. Jawab dengan lembut dan hormat” (1 Petrus 3:15).
Meskipun kita menderita kerana percaya kepada Kristus, kata-kata kita boleh menunjukkan kepada dunia bahawa Roh-Nya sedang memimpin kita. Maka kita akan menarik orang lain kepada-Nya.