Pada tahun 1920, John Sung, anak keenam kepada seorang pastor Cina, telah menerima biasiswa untuk belajar di sebuah universiti di Amerika Syarikat. Dia telah lulus dengan kepujian tertinggi, menamatkan program sarjana, dan memperoleh PhD (Doktor Falsafah). Namun begitu, semasa dia melanjutkan pelajarannya, dia telah meninggalkan Tuhan. Kemudian, pada suatu malam pada tahun 1927, dia menyerahkan hidupnya kembali kepada Kristus dan berasa dirinya terpanggil untuk menjadi seorang pengkhutbah.
Banyak peluang lumayan menantinya di China, tetapi dalam perjalanan pulangnya di atas kapal, dia telah diyakinkan oleh Roh Kudus untuk mengetepikan cita-citanya. Sebagai tanda komitmennya, dia membuang semua anugerah atas pencapaiannya ke laut dan hanya menyimpan sijil PhD untuk diberikan kepada ibu bapanya sebagai tanda menghormati mereka.
John Sung memahami apa yang dimaksudkan oleh Yesus tentang menjadi murid-Nya: “Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia tetapi kehilangan hidupnya” (Markus 8:36). Apabila kita menyangkal diri dan meninggalkan kehidupan lama kita untuk mengikut Kristus dan pimpinan-Nya (ayat 34-35), ini mungkin bermakna bahawa kita harus mengorbankan keinginan peribadi dan keuntungan fizikal yang mengalihkan perhatian kita daripada mengikut Dia.
Selama dua belas tahun yang berikutnya, Pastor John melaksanakan misi yang diberikan oleh Tuhan dengan sepenuh hatinya, memberitakan Injil kepada ribuan orang di seluruh negara China dan benua Asia Tenggara. Bagaimanakah pula dengan kita? Kita mungkin tidak akan dipanggil untuk menjadi pengkhutbah atau mubaligh, tetapi di mana sahaja Tuhan memanggil kita untuk melayani, dengan Roh-Nya yang bekerja di dalam kita, semoga kita berserah sepenuhnya kepada-Nya.