Selepas satu pertandingan, seorang bintang bola keranjang universiti membantu para pekerja membuang cawan kosong dan bungkusan makanan. Apabila seorang peminat mengepos video tentang tindakannya itu, lebih daripada lapan puluh ribu orang menontonnya. Seorang penonton memberikan komen, “[Orang muda itu] ialah salah seorang lelaki paling rendah hati yang pernah anda temui dalam hidup anda.” Adalah lebih mudah bagi pemain tersebut pergi merayakan kemenangan bersama dengan rakan sepasukannya. Sebaliknya, dia dengan rela hati memilih untuk melakukan pekerjaan yang biasanya tidak dihargai orang.

Semangat kerendahan hati yang paling agung terlihat pada Yesus, yang telah meninggalkan kedudukan-Nya yang tinggi di syurga untuk mengambil peranan sebagai hamba di bumi (Filipi 2:7). Yesus tidak perlu melakukannya, tetapi Dia dengan rela hati merendahkan diri-Nya. Pelayanan-Nya di muka bumi termasuklah mengajar, menyembuh dan mengasihi semua orang—serta mati dan bangkit untuk menyelamatkan mereka.

Meskipun teladan Kristus boleh memberikan inspirasi kepada kita untuk menyapu lantai, membuang sampah, atau menyediakan makanan. Sikap ini mungkin paling berkesan apabila dapat mempengaruhi sikap kita terhadap orang lain. Kerendahan hati yang sejati ialah kualiti dalaman yang bukan sahaja mengubah tindakan kita, tetapi juga mengubah apa yang penting bagi diri kita. Kerendahan hati mendorong kita “menganggap yang lain lebih tinggi daripada “[diri kita]” (ayat 3).

Andrew Murray, iaitu seorang penulis dan pengkhutbah berkata, “Kerendahan hati adalah kekudusan yang mekar dan indah.” Apabila kita mencerminkan hati Kristus melalui kuasa Roh Kudus, semoga hidup kita juga mencerminkan kerendahan hati yang indah ini (ayat 2–5).