Sebuah monumen di gereja Kolej Kristus, Cambridge, England, telah didedikasikan kepada dua orang ahli fizik pada kurun ke-17, iaitu John Finch dan Thomas Baines. Sebagai “sahabat yang tidak boleh dipisahkan”, Finch and Baines bekerjasama dalam penyelidikan perubatan dan mengembara bersama dalam perjalanan diplomatik. Apabila Baines meninggal dunia pada tahun 1680, Finch meratapi “pertalian jiwa mereka yang tidak terputus”, yang telah bertahan selama tiga puluh enam tahun. Hubungan itu adalah satu persahabatan yang dipenuhi kasih sayang, kesetiaan dan komitmen.

Raja Daud dan Yonatan mempunyai persahabatan yang hampir sama rapat. Mereka saling berkongsi kasih persaudaraan yang mendalam (1 Samuel 20:41), bahkan mereka bersumpah untuk memberi komitmen terhadap satu sama lain (ayat 8-17, 42). Persahabatan mereka terserlah oleh kesetiaan yang amat kukuh (1 Samuel 19:1-2; 20:13), malah Yonatan mengorbankan haknya ke atas takhta supaya Daud boleh menjadi raja (20:30-31; lihat 23:15-18). Apabila Yonatan mati, Daud meratapi kasih Yonatan yang baginya adalah “lebih daripada cinta kaum wanita” (2 Samuel 1:26).

Kita mungkin berasa kekok untuk menyamakan persahabatan dengan kasih pada masa ini, tetapi mungkin persahabatan seperti Finch dan Baine, atau Daud dan Yonatan dapat menolong kita mencapai tahap persahabatan yang lebih mendalam. Yesus mempelawa para sahabat-Nya bersandar pada-Nya (Yohanes 13:23–25), dan kasih sayang, kesetiaan dan komitmen yang ditunjukkan-Nya kepada kita boleh menjadi dasar kepada persahabatan kukuh yang kita bina bersama.