Pada hari perkahwinan Gwendolyn Stulgis, dia mengenakan pakaian perkahwinan yang diimpikannya. Kemudian dia memberikan pakaian itu kepada orang yang tidak dikenalinya. Stulgis percaya bahawa adalah lebih baik jika pakaian itu tidak hanya disimpan di dalam almari dan dibiarkan berhabuk. Pengantin-pengantin perempuan lain juga bersetuju. Kini ramai wanita berbondong-bondong ke media sosialnya untuk menderma dan menerima pakaian perkahwinan. Seorang penderma berkata, “Saya harap pakaian ini dapat diberikan daripada seorang pengantin perempuan kepada pengantin perempuan yang Iain, kemudian kepada pengantin perempuan lain lagi, dan biarlah pakaian ini menjadi lusuh dan akhirnya menjadi compang-camping hasil daripada semua kegembiraan yang telah dialami melaluinya.”

Semangat memberi sememangnya ibarat satu perayaan. Seperti yang tertulis, “Ada orang yang sering bermurah hati namun begitu semakin bertambah kaya, ada orang yang menahan apa yang patut diberikannya namun kian susut juga miliknya. Jiwa yang suka beramal jariah akan diberi kelimpahan, orang yang memberikan air kepada orang, dia sendiri akan diberi minum” (Amsal 11:24–25).

Rasul Paulus mengajar kita prinsip ini dalam Perjanjian Baru. Ketika dia mengucapkan selamat tinggal kepada orang percaya di Efesus, dia memberkati mereka (Kisah Rasul-Rasul 20:32) dan mengingatkan mereka tentang kepentingan kemurahan hati. Paulus menunjukkan teladan yang boleh dicontohi oleh orang percaya melalui etika kerja sendirinya. “Dalam semua perkara aku telah menunjukkan teladan kepadamu … kamu juga patut bekerja demikian untuk menolong orang yang lemah; dan ingatlah firman Tuhan Yesus, ‘Memberi itu lebih berkatnya daripada menerima’ ” (ayat 35).

Memiliki kemurahan hati mencerminkan Tuhan. Ini kerana “Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal” (Yohanes 3:16). Marilah kita mengikuti teladan-Nya yang mulia ini sementara Dia membimbing kita.