Kenangan buruk dan tuduhan menghantui fikiran Sal. Dia tidak dapat tidur kerana ketakutan memenuhi hatinya dan peluh membasahi kulitnya. Malam itu merupakan malam sebelum pembaptisannya, dan dia asyik terganggu oleh pemikiran yang negatif. Sal telah menerima keselamatan Yesus dan tahu bahawa dosa-dosanya telah diampuni, tetapi peperangan rohani berterusan. Kemudian isterinya memegang tangannya dan berdoa untuknya. Beberapa lama kemudian, kedamaian menggantikan rasa takut di hati Sal. Dia bangun dan menuliskan kata-kata yang dia akan berkongsi sebelum dia dibaptis—sesuatu yang tidak mampu dilakukannya sebelum ini. Selepas itu, dia pun tidur dengan lena.
Raja Daud juga tahu apa rasanya malam yang tidak tenang itu. Ketika dia melarikan diri daripada anaknya Absalom yang ingin merampas takhtanya (2 Samuel 15–17), dia tahu bahawa “puluhan ribu yang bersiap sedia melawan[nya] dari setiap pihak” (Mazmur 3:6). Daud merintih, “betapa ramainya musuhku!” (ayat 1). Walaupun hatinya penuh dengan ketakutan dan keraguan, dia berseru kepada Tuhan, “perisai”-Nya (ayat 3). Kemudian, dia mendapati bahawa dia boleh “baring dan tidur … kerana TUHAN memelihara [dia]” (ayat 5).
Apabila ketakutan dan pergelutan mencengkam fikiran kita dan rehat digantikan oleh kegelisahan, kita boleh menemukan harapan semasa kita berdoa kepada Tuhan. Walaupun kita mungkin tidak mengalami tidur yang nyenyak dengan serta-merta seperti Sal dan Daud, kita “akan berbaring dan tidur dalam sejahtera” (4:8). Ini kerana Tuhan ada bersama kita dan Dia akan menjadi tempat rehat kita.