Selama berhari-hari, seekor kucing yang sakit telah menangis dan mengerekot dalam kotak berhampiran tempat kerja saya. Ramai orang yang melewati tempat itu tidak menyedari bahawa seekor kucing telah ditinggalkan di tepi jalan—sehingga seseorang yang bernama Jun datang. Penyapu jalan itu membawa haiwan itu pulang ke rumahnya, yang dia tinggal bersama dua ekor anjing, yang juga merupakan anjing jalanan sebelum ini.
“Saya mengambil berat tentang haiwan ini kerana tiada sesiapa pun mengambil peduli,” kata Jun. “Keadaan haiwan ini mengingatkan tentang keadaan saya sendiri. Lagipun tiada siapa perasan tukang sapu jalan.”
Semasa Yesus berjalan ke arah Yerikho dalam perjalanan-Nya ke Yerusalem, seorang lelaki buta duduk mengemis di tepi jalan. Dia juga berasa tiada siapa pedulikannya, khususnya pada hari itu. Ketika orang ramai melaluinya dan semua mata tertumpu kepada Kristus—tiada seorang pun berhenti untuk membantu pengemis itu.
Tiada sesiapa peduli kecuali Yesus. Di tengah-tengah kerumunan orang ramai yang riuh, Dia mendengar tangisan lelaki yang dilupakan itu. “Apa yang kamu mahu Kubuat untukmu?” Kristus bertanya, dan Dia menerima jawapan yang tulus, “Tuhan, aku ingin melihat”. Kemudian Yesus berkata, “Terimalah penglihatanmu kembali, imanmu telah menyembuhkanmu” (Lukas 18:41-42).
Adakah kita kadang-kadang berasa tidak diperhatikan? Adakah tangisan kita ditenggelamkan oleh orang yang kelihatan lebih penting daripada kita? Juruselamat kita menyedari perkara yang tidak dipedulikan oleh dunia. Berserulah kepada-Nya untuk mendapatkan pertolongan! Sementara orang lain melewati kita, Dia akan berhenti untuk kita.