Topik pembelajaran Alkitab hari itu ialah kitab Imamat, dan saya perlu mengaku. “Saya melangkau banyak bacaan di dalamnya,” saya memberitahu ahli-ahli kumpulan yang lain. “Saya tidak mahu membaca tentang penyakit kulit lagi.”
Ketika itulah rakan saya Dave bersuara. “Saya mengenali seorang lelaki yang percaya kepada Yesus kerana petikan itu,” katanya. Dave menjelaskan bahawa rakannya—seorang doktor—telah lama menjadi ateis. Dia memutuskan bahawa sebelum dia menolak Alkitab sepenuhnya, lebih baik dia membacanya sendiri. Masa itulah bahagian tentang penyakit kulit dalam kitab Imamat telah menarik perhatiannya. Bahagian ini mengandungi butiran yang mengejutkan tentang kudis yang menular dan tidak berjangkit (13:1-46) dan rawatannya (14:8-9). Dia tahu catatan ini jauh melebihi pengetahuan perubatan pada ketika itu—namun hal itu wujud dalam kitab Imamat. Tidak mungkin Musa mengetahui semua ini, fikirnya. Maka doktor itu mula percaya bahawa Musa benar-benar menerima maklumatnya daripada Tuhan. Akhirnya, dia menaruh kepercayaannya kepada Yesus.
Jika anda berpendapat bahawa sebahagian Alkitab adalah membosankan, saya boleh memahami perasaan anda. Tetapi semua yang dicatatkan ada sebabnya. Kitab Imamat ditulis supaya orang Israel tahu bagaimana hidup untuk Tuhan dan bersama Tuhan. Semasa kita mempelajari lebih lanjut tentang hubungan antara Tuhan dan umat-Nya ini, kita belajar tentang Tuhan sendiri.
“Seluruh Kitab Suci diilhamkan oleh Allah, dan berguna untuk mengajar, menegur, membetulkan dan mendidik ke arah kebenaran,” tulis rasul Paulus (2 Timotius 3:16). Marilah kita terus membaca, mahupun kitab Imamat.