Ketika ribut salji melanda negeri saya di sebelah barat Amerika Syarikat, ibu saya yang telah menjadi balu bersetuju untuk tinggal bersama keluarga saya untuk mengelakkan ribut salji itu. Namun, selepas ribut salji berlalu, dia tidak kembali ke rumahnya. Dia berpindah dan tinggal bersama kami sepanjang hayatnya. Kehadirannya telah membawa perubahan yang positif dalam rumah tangga kami. Dia sentiasa memberikan tanggapan dan nasihat yang bijak kepada kami, serta bercerita tentang nenek moyang kami. Dia dan suami saya menjadi seperti kawan baik, berkongsi jenaka dan mempunyai minat yang sama dalam sukan. Dia bukan lagi seorang pelawat, dia merupakan penduduk tetap dan orang penting kita. Dia telah membawa perubahan dalam hati kami selama-lamanya walaupun selepas Tuhan memanggil dia kembali ke rumah-Nya.
Pengalaman itu membawa kami mengimbas kembali keterangan Yohanes tentang Yesus—bahawa Dia “hidup dalam kalangan kita” (Yohanes 1:14). Ini merupakan huraian yang menarik kerana dalam bahasa Yunani, perkataan asal bagi hidup bermaksud “untuk mendirikan khemah.”
Dengan iman, kita juga menerima Yesus sebagai Peribadi yang tinggal di dalam hati kita. Seperti yang ditulis oleh Paulus, “Aku berdoa semoga Dia mengurniakan kepadamu, menurut limpah kemuliaan-Nya, kekuatan melalui Roh-Nya dalam dirimu. Semoga Kristus mendiami hatimu melalui iman. Dan kamu, setelah berakar umbi dalam kasih” (Efesus 3:16-17).
Yesus bukanlah pelawat biasa, tetapi merupakan penduduk tetap yang memberi kuasa kepada semua orang yang percaya kepada-Nya. Semoga kita membuka pintu hati kita dan mengalu-alukan Dia.