Jack merupakan seorang profesor falsafah dan sastera yang sangat bijak. Dia telah mengisytiharkan dirinya sebagai seorang ateis pada usia lima belas tahun, dan setelah dewasa dia dengan tegas mempertahankan “kepercayaan ateis (suatu kepercayaan yang tidak mengakui kewujudan Tuhan)” yang dipegangnya. Rakan-rakan Kristian berusaha menjangkaunya. Jack berkata seperti ini, “Nampaknya semua orang dan segala-galanya cuba membuktikan kewujudan Tuhan.” Namun dia harus mengakui, Alkitab berbeza daripada bahan-bahan kesusasteraan dan mitos lain. Dia menulis tentang kitab-kitab Injil: “Seandainya mitos betul-betul menjadi fakta, maka ini merujuk kepada kitab-kitab Injil.”
Satu petikan dalam Alkitab telah mengubah kepercayaan Jack—Keluaran 3. Tuhan memanggil Musa memimpin orang Israel keluar dari Mesir. Musa bertanya kepada Tuhan, “Siapakah hamba-Mu ini sehingga hamba harus pergi menghadap Firaun?” (ayat 11). Tuhan menjawab, “Akulah AKU” (ayat 14). Petikan ini agak rumit dalam permainan kata dan nama, tetapi menggambarkan kehadiran Tuhan yang kekal sejak awal. Apa yang menariknya, Yesus mengatakan yang sama apabila Dia berkata, “sebelum Abraham dilahirkan Aku sudah ada” (Yohanes 8:58).
Petikan ini amat menyentuhkan hati Jack, yang lebih dikenali sebagai C. S. Lewis. Satu-satunya Tuhan yang benar hanya perlu berkata—secara ringkas bahawa Dia adalah “AKU.” Dalam detik yang mengubah hidupnya, Lewis “menyerah dan mengakui bahawa Tuhan adalah Tuhan.” Inilah permulaan perjalanan iman Lewis ke arah menerima Yesus.
Mungkin kita juga bergelut dengan kepercayaan kita seperti Lewis, atau mungkin bergelut dengan iman yang suam-suam kuku. Kita mungkin boleh bertanya kepada diri sendiri, jika Tuhan itu benar-benar “AKU” yang berkuasa dalam hidup kita.