Seorang penumpang wanita yang duduk di sebelah saya dalam penerbangan memberitahu bahawa dia tidak beragama dan telah berhijrah ke sebuah bandar yang terdapat ramai orang Kristian. Apabila dia menyebut bahawa kebanyakan jirannya pergi ke gereja, saya bertanya tentang pengalamannya. Dia memberitahu bahawa dia tidak dapat membalas budi mereka. Ketika dia membawa bapanya yang kurang upaya ke negara baru itu, jirannya membina laluan OKU (Orang Kurang Upaya) ke rumahnya, dan mendermakan katil hospital serta bekalan perubatan. Dia berkata, “Jika kepercayaan ini membuat seseorang menjadi begitu baik, maka semua orang harus menjadi seorang Kristian.”
Kenyataan itu tepat seperti yang dikatakan oleh Yesus! Yesus memerintahkan murid-murid-Nya, “Biarlah cahayamu juga bersinar di hadapan orang ramai, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik lalu memuji Bapamu yang di syurga” (Matius 5:16). Petrus mendengar perintah Kristus dan meneruskannya: “Amalkan kelakuan yang mulia, maka apabila orang di kelilingmu yang tidak mengenal Allah mengata kamu berbuat jahat, mereka tetap melihat perbuatanmu yang baik lalu memuliakan Allah pada waktu Tuhan datang kembali” (1 Petrus 2:12).
Jiran-jiran kita yang belum percaya kepada Yesus mungkin tidak memahami apa yang kita percaya dan sebab kita mempercayai-Nya. Jangan tawar hati, kerana masih ada satu perkara yang mereka tidak dapat faham: kasih kita yang berlimpah-limpah terhadap sesama. Penumpang di sebelah saya ini kagum kerana jiran-jirannya yang beragama Kristian terus prihatin kepadanya, walaupun mereka bukan “sekampung”, yakni orang yang sama kepercayaan dengan mereka. Namun dia tahu dia dikasihi kerana Yesus, dan dia bersyukur kepada Tuhan. Dia mungkin belum percaya kepada Tuhan, tetapi dia bersyukur kerana orang di sekelilingnya percaya kepada-Nya.