Ketika seorang pemuda kaya yang berusia dua puluh tahun berlumba heret dengan rakan-rakannya, dia melanggar dan membunuh seorang pejalan kaki. Walaupun lelaki muda itu menerima hukuman penjara tiga tahun, ada yang percaya bahawa lelaki yang hadir di mahkamah (dan kemudiannya menjalani hukuman penjara) ialah pengganti upahan bagi pemandu sebenar yang melakukan jenayah itu. Perkara seperti ini sering diamalkan di beberapa buah negara, bahawa orang mengupah penggantinya untuk mengelakkan diri menjalani hukuman ke atas jenayah yang telah dilakukan oleh mereka.
Hal ini mungkin kedengaran memalukan dan keterlaluan, tetapi lebih daripada dua ribu tahun yang lalu, Yesus menjadi pengganti kita dan “mati sekali untuk selama-lamanya kerana dosa kita. Dia yang benar telah menderita untuk orang yang tidak benar” (1 Petrus 3:18). Sebagai korban yang tidak berdosa, Kristus menderita dan mati sekali untuk selama-lamanya (Ibrani 10:10), untuk semua orang yang percaya kepada-Nya. Dia menanggung hukuman bagi semua dosa kita ke atas tubuh-Nya sendiri di kayu salib. Tidak seperti seseorang yang memilih untuk menjadi pengganti penjenayah bagi mendapatkan wang tunai, kematian Kristus di kayu salib sebagai pengganti kita memberikan “harapan” kepada kita kerana Dia dengan rela memberikan nyawa-Nya untuk kita (1 Petrus 3:15, 18; Yohanes 10:15). Dia berbuat demikian untuk merapatkan jurang antara kita dan Tuhan.
Semoga kita bersukacita dan mendapat dorongan serta keyakinan dengan kebenaran yang mendalam ini: Hanya melalui kematian Yesus sebagai pengganti kita, kita sebagai orang berdosa yang memerlukan keselamatan akan mempunyai hubungan dengan Tuhan dan dapat datang kepada-Nya tanpa halangan.