Sebelum Charles Simeon menghadiri universiti di Cambridge, England, dia merupakan seorang penggemar kuda dan pakaian, sehingga dia membelanjakan sejumlah besar wang untuk pakaiannya setiap tahun. Oleh sebab universiti menuntut dia menghadiri ibadah Perjamuan Kudus, dia mula meneliti apa yang dipercayainya. Selepas membaca beberapa buku yang ditulis oleh seorang yang percaya kepada Yesus, dia mengalami kelahiran baru yang dramatik pada hari Minggu Paskah. Ketika dia bangun awal pagi pada 4 April 1779, dia berseru, “Yesus Kristus telah bangkit hari ini! Haleluya! Haleluya!” Semasa dia bertumbuh dalam imannya kepada Tuhan, dia mengabdikan dirinya dalam pengajian Alkitab, doa dan menghadiri kebaktian gereja.
Pada Paskah pertama, kehidupan kedua-dua wanita yang tiba di kubur Yesus telah berubah. Di sana mereka menyaksikan gempa bumi yang dahsyat ketika malaikat menggulingkan batu itu. Dia berkata kepada mereka, “Jangan takut, aku tahu kamu mencari Yesus yang telah disalib. Dia tidak ada di sini, kerana Dia telah bangkit semula, seperti yang dikatakan-Nya” (Matius 28:5-6). Dengan sangat gembira, wanita-wanita itu menyembah Yesus dan dengan segera lari memberitahu berita baik itu kepada kawan-kawan mereka.
Bertemu dengan Kristus yang telah bangkit bukanlah peristiwa yang hanya berlaku pada zaman dahulu—Kristus berjanji untuk bertemu dengan kita di sini dan sekarang. Kita mungkin mengalami pertemuan yang dramatik, seperti wanita-wanita di kubur atau seperti Charles Simeon, tetapi mungkin juga tidak. Dalam apa jua cara Yesus menyatakan diri-Nya, kita boleh tetap yakin bahawa Dia mengasihi kita.