“Tiada tempat seindah rumah,” kata Dorothy, sambil menghantukkan tumit kasutnya yang berwarna merah delima. Dalam filem The Wizard of Oz, itu sahaja yang diperlukan untuk mengangkut Dorothy dan anjingnya, Toto secara ajaib dari tempat yang di panggil Oz, untuk pulang ke rumah mereka di Kansas.
Sedihnya, kasut itu tidak mencukupi untuk semua orang. Walaupun ramai orang juga rindu pulang ke rumah seperti Dorothy, namun untuk mencari sebuah rumah sebegini—tempat yang kita ada rasa kepunyaan—kadangkala lebih mudah diucapkan daripada dilakukan.
Salah satu akibat daripada kehidupan di dunia yang ada tahap penghijrahan yang tinggi dan bersifat sementara ialah perasaan terpisah. Kita selalu tertanya-tanya sama ada kita akan menemukan tempat yang kita benar-benar boleh panggil sebagai rumah. Perasaan ini mungkin juga mencerminkan realiti yang lebih mendalam, yang diungkapkan oleh C. S. Lewis: “Jika saya mendapati ada suatu keinginan saya yang tidak dapat dipuaskan oleh apa-apa pun pengalaman di dunia ini, maka penjelasan yang paling masuk akal ialah, saya dicipta untuk dunia lain.”
Pada malam sebelum Yesus disalibkan, Dia meyakinkan rakan-rakan-Nya tentang rumah tersebut dengan berkata, “Di dalam rumah Bapa-Ku ada banyak tempat tinggal. Jika hal ini tidak benar, tidaklah Kukatakan kepadamu. Aku akan pergi menyediakan tempat untukmu” (Yohanes 14:2). Inilah rumah yang kita akan dialu-alukan dan dikasihi.
Namun, kita boleh berada di rumah itu sekarang juga. Setiap kita adalah sebahagian sebuah keluarga—gereja Tuhan, dan kita hidup dalam komuniti bersama dengan saudara dan saudari lain dalam Kristus. Sebelum Yesus membawa kita kembali ke rumah-Nya yang kita rindukan, kita boleh hidup dalam kedamaian dan sukacita yang diberikan Tuhan. Kehadiran Tuhan menjadi rumah kekal kita.