Semasa upacara perkahwinan kami, paderi kami berkata kepada saya, “Adakah kamu berjanji untuk mengasihi, menghormati, dan mematuhi suamimu, sehingga badan dikandung tanah?” Sambil memandang sepintas lalu kepada tunang saya, saya berbisik, “Patuh?” Kami telah membina hubungan kami atas dasar kasih sayang dan rasa hormat—bukan kepatuhan membuta tuli, seperti yang disyorkan oleh ikrar tersebut. Bapa suami saya sempat menangkap gambar saya terbeliak mata ketika saya memikirkan makna perkataan patuh itu dan menjawab, “Ya, saya sudi.”

Dari tahun ke tahun, Tuhan telah menunjukkan bahawa tentangan saya terhadap perkataan patuh tidak ada kaitan langsung dengan hubungan yang sangat kompleks antara suami dan isteri. Saya menganggap patuh bermaksud “dikuasai” atau “menyerah secara paksa,” inilah konsep yang tidak disokong oleh Kitab Suci. Sebaliknya, perkataan patuh dalam Alkitab menyatakan pelbagai cara yang kita boleh mengasihi Tuhan. Sungguhpun saya dan suami sudah berkahwin selama tiga puluh tahun, dengan kuasa Roh Kudus kami masih belajar untuk mengasihi Yesus dan satu sama lain.

Apabila Yesus berkata, “Jika kamu mengasihi-Ku, kamu akan mematuhi perintah-perintah-Ku” (Yohanes 14:15), Dia menunjukkan bahawa kepatuhan kepada Alkitab merupakan hasil daripada hubungan berterusan yang penuh kasih dan akrab dengan-Nya (ayat 16-21).

Kasih Yesus tidak mementingkan diri sendiri, tidak bersyarat, dan tidak pernah bersifat paksaan atau berkasar. Apabila kita mengikut dan memuliakan-Nya dalam semua hubungan kita, Roh Kudus boleh membantu kita melihat kepatuhan kepada-Nya merupakan satu tindakan kepercayaan dan penyembahan yang bijak serta penuh kasih.